Berapakah modal minimum untuk membolehkan anda melabur di pasaran saham?
Ia satu soalan yang kerap ditanya oleh mereka yang berhasarat untuk melabur di pasaran saham.
Ramai yang menyangkakan bahawa untuk melabur di pasaran saham ia mesti mempunyai jumlah modal yang besar, tetapi pada hakikatnya tidak. Untuk melabur di pasaran saham tiada modal minimum ditetapkan.
Jumlah modal sebenarnya bergantung kepada apakah saham yang hendak dibeli, harga dan kuantiti.
Di pasaran saham ada saham berharga mahal dan ada yang berharga murah termasuk dibawah seringgit yang dipanggil sebagai “penny stock”.
Sebagai contoh saham Widad (sehingga 2 Sept 2024) berharga hanya 5 sen (RM0.05) sesaham, Maka jika anda ingin membeli sebanyak 10,000 unit, anda hanya perlu membayar RM500.00 (tidak termasuk yuran broker, yuran penjelasan dan duti stem)
Sebaliknya jika anda ingin membeli saham berharga mahal seperti PETDAG (Petronas Dagang) yang mana harganya ialan RM22.56, maka anda perlukan modal RM25600.00 (yuran broker, yuran penjelasan dan stem duti belum termasuk).
Untuk makluman di Bursa Malaysia kuantiti minimum yang boleh dibeli ialah 100 unit. Maka jika pelabur ingin membeli saham PETDAG pada kuantiti 100 unit, modal yang diperlukan ialah RM256.00.
Jika anda membeli saham Widad pula pada kuantiti minimum (100 unit) modalnya hanya RM5.00
Dua perkara yang perlu difahami jika anda melabur dalam saham murah;
1. Skala Ekonomi
Konsep skala ekonomi perlu difahami supaya anda boleh tahu berapakah perbezaan harga jual dan beli yang boleh menampung kos urusniaga dan keuntungan. Lebih besar kuantiti lebih kecil perbezaan harga jual dan beli diperlukan untuk menjana keuntungan.
2. Faktor Harga Murah
Dinasihatkan, jika anda gemar membeli saham berharga murah iaitu penny stock anda perlu berhati-hati . Kajian dari sudut fundamental adalah mustahak.
Ada dua faktor kenapa sesuatu saham didagangkan pada harga murah.
Pertama, kerana ia bersaiz kecil dari segi modal berbayar syarikat terutama saham-saham yang disenarai ACE Market.
Kedua, ia didagangkan pada harga murah kerana prestasi kewangan yang makin buruk. Contoh, keuntungan bersih turun berterusan dari tahun ke tahun sedangkan dari sejarah ia berharga mahal sebelumnya.
Maka diulang lagi pesanan, buat kajian terlebih dahulu sebelum membeli agar mendapat kepastian kenapa harga saham menjadi murah. Elakkan membeli jika ia berpunca dari faktor kedua.
Kesimpulannya. modal minimum pelaburan dalam pasaran saham tidak semestinya puluhan ribu, ratusan ribu atau jutaan ringgit sebaliknya ialah bergantung kepada apa dan berapa harga saham yang ingin dibeli.
Selain itu ia juga bergantung jumlah terendah yang sanggup anda peruntukan daripada wang yang ada untuk pelaburan di pasaran saham.
Contoh, anda mempunyai wang simpanan sebanyak RM30,000, daripada jumlah tersebut berapa peratuskah yang anda sanggup ketepikan untuk pelaburan di pasaran saham.
Sebagai pendatang baru, anda tidak perlu memulakan dengan jumlah yang besar. Anda boleh memulakan dengan jumlah mengikut kesanggupan anda , Malah lebih baik jika saiz modal pelaburan disesuaikan dengan ilmu yang anda miliki.
Dapatkan pandangan dari remisier yang anda lantik.
- Sabri Jalil