KALAU KITA BELI SAHAM DI PASARAN SAHAM, KE MANA DUIT YANG KITA BAYAR? ADAKAH DIAMBIL OLEH SYARIKAT ATAU BURSA?
Apabila seorang pelabur membeli saham, contoh MYEG, maka wang yang dibayar kerana membeli saham MYEG tidak pergi ke syarikat MYEG atau pergi ke (diambil oleh) bursa.
Sebaliknya bila pelabur membeli , wang yang dibayar akan pergi ke pelabur yang menjual dan begitulah sebaliknya. Sesuatu saham yang telah disenarai ia akan berlegar atau sentiasa bertukar tangan dikalangan para pelabur (pembeli dan penjual).
BUKANKAH TUJUAN SYARIKAT DISENARAI ADALAH UNTUK MENDAPAT MODAL DARI ORANG RAMAI? KALAU HANYA BERLEGAR DIKALANGAN PELABUR BAGAIMANA IA MENDAPAT DANA?
Benar, tujuan syarikat disenarai adalah untuk mendapat dana dari orang-ramai. Syarikat mengutip dana dari orang-ramai (pelabur) ketika ia menerbitkan tawaran awam permulaan atau IPO.
IPO adalah sejumlah saham yang diterbitkan dan dijual kepada pelabur yang berminat sebelum disenarai. Selepas disenarai saham akan diurusnia di pasaran saham dan akan berlegar dan bertukar antara pelabur (pembeli dan penjual).
Selain daripada IPO syarikat boleh lagi membuat terbitan saham baru untuk menjada dana dari orang awam selepas disenarai seperti terbitan hak (right issue), waran, bon boleh tukar dan lain-lain.
Analogi untuk kefahaman lanjut;
Katakan syarikat ABC adalah pemaju perumahan. Syarikat akan menjual rumah-rumah yang dibina kepada orang awam apabila siap. Bila anda membeli rumah tersebut anda perlu membayar dan pemaju akan dapat wang tersebut dan ANDA kini adalah pemilik rumah tersebut.
Beberapa tahun selepas itu anda ingin menjual remah tersebut, maka bakal pembeli bukan pemaju sebalik orang awam yang berminat untuk membeli rumah. Katakan En. A bersetuju membeli rumah anda, maka anda selaku penjual adalah pihak yang akan menerima bayaran dan bukan pemaju lagi.
Katakan selepas itu rumah tersebut dijual pula oleh pemilik baru dan seterusnya berlaku perkara yang sama, maka rumah tersebut hanya bertukar tangan dikalangan pembeli dan penjual dan pemaju tidak lagi terlibat dalam urusniaga tersebut.

– Sabri Jalil