Anda mungkin mempunyai sekumpulan aset dalam satu masa dari berbagai bentuk seperti wang tunai dalam akaun bank, bangunan kediaman, tanah pertanian dan lain-lain. Nilai keseluruhan mungkin ratusan ribu ringgit. Katakan RM800 ribu, maka anda merasakan itu adalah nilai kekayaan yang dimiliki.

Jika anda tiada menanggung hutang ketika memiliki aset-aset tersebut, anggapan anda adalah benar. Namun, jika anda ada menanggung hutang, ia tidak benar. Nilai kekayaan sebenar anda adalah lebih rendah dari itu, malah mungkin boleh dianggap tidak kaya jika siaz hutang lebih besar.

Ini kerana kekayaan diukur daripada lebihan yang kita miliki yang dipanggil sebagai nilai bersih. Nilai bersih ialah perbezaan diantara jumlah aset yang dimiliki dan jumlah hutang yang ditanggung. Secara formula mudah ia boleh difahami seperti berikut;

    Nilai bersih = Jumlah aset – Jumlah liabiliti (hutang)

Jika anda memiliki sebuah rumah kediaman bernilai RM400 ribu, kekayaan anda dari rumah tersebut ialah RM400 ribu. Namun itu adalah nilai kekayaan kasar sahaja sedangkan nilai kasar bukan ukuran kepada nilai kekayaan sebenar.

Sesebuah aset fizikal apabila dijual ia akan bertukar menjadi aset tunai.

Jika rumah tersebut dimiliki dengan secara pinjaman, katakan baki pinjaman sehingga kini ialah RM300 ribu, bila ia dijual (katakan RM400 ribu juga) setelah ditotak pinjaman bakinya adalah RM100 ribu sahaja. Pada asal anda merasakan kekayaan dari pemilikan rumah adalah RM400 tetapi yang anda terima sekarang ialah RM100 sahaja, iaitu baki nilai rumah.

Dalam menilai sebuah syarikat kaedah yang sama digunakan. Nilai atau kekayaan sesebuah syarikat merujuk kepada apa yang dimiliki oleh syarikat seperti tunai di bank, tanah, bangunan pejabat atau kilang dan lain-lain, tetapi perlu dilihat juga jumlah liabiliti atau hutang yang ditanggung oleh syarikat untuk mendapatkan nilai bersih yang menjadi petunjuk kepada kekukuhannya. Formulanya adalah sama seperti diatas.

“Networth” (bahasa Inggeris) ialah istilah lain yang kerap diguna untuk menggantikan  istilah nilai bersih untuk individu dan organisasi termasuk syarikat. 

 

 

Terdapat juga istilah-istilah lain yang diguna  tetapi memberi maksud yang sama. Antaranya;

1. Aset bersih (net asset)

2. Nilai aset bersih (net asset value)

3. Nilai buku (book value)

4. Dana pemegang saham (shareholder fund)

5. Ekuiti pemegang saham (shareholder equity)

6. Pemilikan ekuiti (equity owner)

Untuk individu istilah ketiga hingga keenam amat jarang digunakan tetapi banyak digunakan untuk syarikat. 

Selain itu, nilai bersih membawa maksud nilai aset syarikat yang menjadi milik pemegang saham.

Contoh;

Jika nilai bersih sesebuah syarikat ialah RM300 juta, maka itu adalah nilai aset yang menjadi hakmilik para pemegang saham dan nilai yang sama akan dikembalikan kepada para pemegang saham jika ia dibubar.

Ada  kemungkinan nilai aset yang dipulangkan lebih rendah bergantung kepada saiz aset tidak ketara.

Penting bagi seorang pelabur menyemak nilai bersih sesebuah syarikat.  Nilai bersih bukan sahaja menunjukkan kekayaan/kekukuhan tetapi juga mengukur tahap risiko saham syarikat. Lebih tinggi nilai bersih lebih rendah risiko dan sebaliknya.

Pelabur perlu mengelak dari membeli saham sesuatu syarikat yang negatif nilai bersihnya. Nilai bersih yang negatif amat tinggi risiko. 

Jika saham syarikat tersebut masih diurusniaga di pasaran saham, ia akan dilabel sebagai PN17 atau GN3 dan menyebabkan harga semakin menjunam dalam kebanyakan kes. Ia berpotensi untuk dikeluarkan dari papan penyenaraian dan nilai sahamnya di pasaran saham menjadi kosong. Jika ia disusuli dengan pembubaran pelabur tidak mendapat apa-apa.

Maka, membeli syarikat yang nilai bersihnya negatif harus dielakkan walaupun dari segi kajian teknikalnya didapati baik. Tidak kira sama belian itu untuk jangka pendek, sederhana atau panjang.

Kesimpulannya , kekayaan sebenar sesebuah entiti, termasuk individu dan syarikat, tertakluk kepada lebihan atau baki yang dimiliki. Ia dipanggil sebagai nilai bersih.

  • Sabri Jalil

By Sabri Jalil

SABRI JALIL ialah Wakil Peniaga Saham Berlesen (Remisier) di Kenanga Investment Bank sejak 1996. Beliau juga adalah penganjur dan Speaker seminar pelaburan saham. Beliau boleh dihubungi melalui 013-7233600/010-3726063