Bila anda melihat gambar yang diberi pasti anda tahu ia adalah rempah ratus dan kaitannya hanyalah masakan di dapur. Ia penyedap ramuan dari ratusan tahun hingga kini.
Namun mungkin ramai tidak tahu dan mempercayai bahawa rempah ratus adalah faktor yang mendorong ujudnya pasaran saham yang pertama di dunia.
Dalam abad ke 17 rempah ratus telah mendapat permintaan yang tinggi di Eropah. Namun sumber rempah ratus terletak di Asia Tenggara terutamanya kepulauan Maluku. Ia menjadi rebutan kuasa-kuasa penjajah barat pada waktu itu.
Kerajaan Belanda adalah salah satu kuasa besar Eropah yang bercita-cita menguasai perdagangan rempah. Untuk melaksana dan mencapai misi, sebuah syarikat milik kerajaan ditubuhkan iaitu VOC atau Syarikat Hindia Timur Belanda pada 1602.
Sejumlah besar kapal dagang diperlukan untuk mengangkut bahan dagangan rempah dan lain-lain dari Asia Tenggara ke Eropah. Selain kapal dagang, sejumlah besar kapal ketenteraan juga diperlukan untuk melindungi kepentingan Belanda di tanah-tanah jajahan terutamanya ladang-ladang rempah dan pelabuhan.
VERSI VIDEO UNTUK ARTIEK BERKAITAN;
Dalam usaha untuk merealisasikan cita-cita tersebut satu kekangan telah timbul iaitu pembiayaan atau modal.
Bagaimana untuk membiayai semua ini sedangkan dana milik Raja Belanda sangat terhad? Maka datang idea dari Raja Belanda sendiri supaya rakyat terlibat dalam pembiayaan misi ini. Sebagai balasan rakyat akan mendapat keuntungan dalam bentuk bayaran dividen.
Maka VOC telah menerbitkan saham untuk rakyat atau awam. Istilah sekarang ialah IPO (singkatan kepada Initial Public Offering) atau tawaran permulaan awam. VOC telah mencatat sejarah menjadi syarikat pertama menerbitkan saham serta ditawarkan kepada orang awam.
Dimana saham-saham yang diterbitkan itu diurusniagakan?
Ia diurusniaga di atas sebuah jambatan Sungai Amstel di Amsterdam. Itulah pasaran saham yang pertama di dunia.
Dengan kata lain, pasaran saham pertama telah ujud di Amsterdam yang kemudiannya berkembang sebagai Amsterdam Stock Exchange. Ujudnya pasaran saham ini ialah kerana cita-cita pemerentah Belanda yang ingin memonopoli perdagangan rempah di Asia Tenggara demi memenuhi permintaan besar di pasaran Eropah.
Belanda muncul sebagai kuasa monopoli perdagangan rempah selama beratus tahun . Satu misi yang berjaya dicapai melalui pasaran saham. Sehingga kini pasaran saham digunakan sebagai pentas untuk mencapai misi dan visi yang lebih besar oleh kebanyakan syarikat termasuk syarikat gergasi seperti Facebook (Meta), Amazon, Alibaba dan lain-lain.
Urusan jual beli saham di atas Jambatan Sungai Amstel juga adalah pelajaran tentang peranan pasaran saham dalam menyumbang kepada perkembangan sesebuah syarikat dan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Peranan yang sama kemudiannya dimainkan oleh bursa-bursa saham diseluruh dunia.
- Sabri Jalil