Bolehkah saya menjual saham yang telah saya beli sedangkan saya belum membuat bayaran kerana tempoh bayaran belum tiba?
Soalan di atas telah diajukan oleh seorang pelabur kepada saya.
Apabila anda membeli saham, tempoh bayaran ialah 2 hari selepas tarikh pembelian. Tarikh tersebut dipanggil sebagai T+2. Sebagai contoh apabila anda membeli saham pada hari Isnin hari terakhir pembayaran ialah pada hari Rabu, tidak termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum yang melibatkan Wilayah Persekutuan.

Kaedah pembayaran ialah samada melalui kaunter pembayaran syarikat broker saham, melalui bank iaitu cek/tunai dikaunter , pindahan ATM atau talian.
Bagi pelabur yang mempunyai trust account dengan syarikat broker saham pembayaran dibuat dengan mendebitkan dari akaun tersebut pada hari kedua selepas tarikh pembelian.
Dalam keadaan pasaran sedang meningkat dengan kuat sering terjadi harga bergerak meningkat dengan pantas. Mungkin kenaikan harga berlaku pada hari yang sama selepas membeli. Mungkin juga hari berikutnya. Pada tarikh tersebut anda belum membuat pembayaran kerana tarikh pembayaran ialah hari kedua (T+2).
Persoalannya bolehkah anda menjual saham tersebut?
Jawapannya ialah anda boleh jual untuk mengambil keuntungan walaupun belum membuat pembayaran.
Apabila saham dijual sebelum pembayaran, jualan tersebut dipanggil sebagai dagangan kontra.
Jika harga jualan tersebut lebih tinggi daripada harga belian maka anda akan mendapat keuntungan dan untung tersebut dikenali sebagai untung kontra. Sering juga disebut sebagai untung atas angin.
Sebaliknya jika anda bertindak menjualnya dalam tempoh tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga belian, maka anda akan mengalami kerugian dan ia dipanggil sebagai kerugian kontra.
Kesimpulannya, tiada masalah bagi pelabur untuk menjual sahamnya walau belum membuat pembayaran ke atas saham yang dibeli sebelumnya.
- Sabri Jalil