Sudah sekian lama iklan-iklan pelaburan scam membanjiri media sosial terutamanya Facebook. Ia semakin bertambah bukan semakin mengurang. Bilangannya beribu malah mungkin ratusan ribu sudah menjadi mangsa yang melibatkan bilion ringgit.
Namun aktiviti mereka seolah-olah tidak dapat dibendung. Selagi tidak dibendung iklan pelaburan scam berbayar terus berleluasa maka semakin ramai akan menjadi mangsa.
Golongan sasaran ialah mereka yang tidak faham tentang dunia pelaburan. Bila sudah terkena kesannya mendalam. Bukan sahaja ribuan ringgit melayang tetapi mental dan emosi turut menerima kesan.
Artikel ini adalah satu perkongsian tentang modus operandi scammer dalam menjerat mangsa. Tujuannya adalah untuk kesedaran dan pencegahan.
Fahami langkah-langkah mereka agar anda tidak tergolong sebagai mangsa.

Langkah 1 > Iklan Pelaburan Di Media Sosial
Scammer membuat iklan berbayar (sponsored ads) dimedia sosial untuk mendapat capaian yang luas dan mangsa yang seramai mungkin.
Gambar tokoh-tokoh tertentu digunakan kononnya mereka ada kaitan dengan pelaburan berkenaan. Tujuannya ialah supaya pelaburan tersebut nampak tulen.
Tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan pelaburan tersebut antaranya adalah dari kalangan agamawan, ahli-ahli perniagaan,tokoh korporat dan sifu-sifu saham.

Langkah 2 > Jaminan Hasil Berganda Dalam Beberapa Jam & Modal Kecil
Contoh, modal RM300, pulangan pelaburan RM20,000 dalamasa 3 jam dan dijamin. Ia satu pulangan 67 kali ganda atau 6500 peratus daripada modal hanya 3 jam… Yang membaca iklan pasti tergoda. Namun bagi mereka yang kenal tentang dunia pelaburan tulen pulangan tersebut tidak masuk akal.
Langkah 3 > Buka Akaun Pelaburan Bagi Pihak Pelabur
Mangsa akan diminta membuka akaun pelaburan untuk meyakinkan bahawa pelaburan tersebut adalah tulen. Pelabur/mangsa hanya perlu memberi butiran nama. nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat email hanya melalui whatsapp tanpa borang rasmi, tanpa salinan dokumen yang sepatutnya dan tanpa tandatangan oleh pelabur/mangsa sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan pembukaan akaun berkaitan pelaburan dinegara kita.
Mengikut undang-undang yang berkaitan seseorang yang ingin membuka akaun berkaitan pelaburan ia mesti mengisi borang rasmi dari institusi kewangan berlesen. Borang mesti disertakan salinan pengenalan diri (k/p atau passport) serta tandangan dihadapan individu yang dilantik.
Jika pengisian borang dibuat secara online dokumen pengenalan diri perlu dimuat naik, memuat naik gambar swafoto dan tandatangan digital.

Langkah 4 > Meminta Mangsa Memindahkan Modal Ke Akaun Bank Tertentu.
Sebaik mangsa memindahkan (bank in) modal ke akaun bank yang diberikan oleh scammer, perangkap sudah mengena dan perangkap seterusnya sedang menanti melalui langkah-langkah seterusnya.
Nombor akaun yang diberikan oleh scammer ialah nombor akaun peribadi atau syarikat perniagaan tunggal (cth enterprise) sedangkan untuk pelaburan yang sah hanya institusi kewangan berlesen sahaja yang boleh menerima modal pelabur.
Seseorang individu walaupun ia wakil yang sah dari institusi kewangan berlesen, sama sekali tidak dibenarkan menerima wang pelabur melalui akaun peribadi.
Langkah 5 > Mencipta Nama Pengguna (ID) Dan Katalaluan Untuk Mangsa
Setelah mangsa memindahkan modal, beberapa jam kemudian mangsa akan diberi ID dan katalaluan yang cipta oleh mereka (sepatutnya pihak ketiga tidak boleh mecipta ID dan katalaluan untuk pelabur melainkan pelabur itu sendiri) dan meminta mangsa mengakses website yang diragui.
Formatnya terlalu mudah dan ringkas. Tiada alamat pejabat .
Bila mangsa mengakses website mangsa dapat melihat pulangan pelaburan dengan mata sendiri. Bagi scammer yang tiada website ia akan memakluman melalui whatsapp.
Mangsa pasti gembira kerana pelaburan membuahkan hasil hanya beberapa jam. Keyakinan semakin tinggi. Kekayaan sudah terbayang. Hasil pelaburan sedia untuk dikeluarkan.

Langkah 6 > Buka Akaun CDS Untuk Keluarkan Hasil Pelaburan
Langkah ini menampakkan kelemahan scammer dan mangsa. Namun kelemahan scammer membuatkan mereka makin kaya manakala kelemahan mangsa membawa kepada penderitaan dalam bentuk penyesalan, tekanan mental dan emosi.
Apakah kelemahan tersebut?

Kepercayaan bahawa akaun CDS ialah akaun untuk memindahkan hasil pelaburan yang pastinya dalam bentuk tunai. Scammer bernasib baik kerana mangsa juga tidak tahu fungsi sebenar akaun CDS.
Bagi mereka yang faham fungsinya pasti akan merasa ragu dengan arahan scammer. Bagi mereka yang tidak tahu (samada pernah mendengar atau tidak tentang akaun CDS ) tetap akan mematuhi arahan scammer kerana sudah terlalu gembira dan teruja kerana yakin bahawa keuntungan berlibat kali ganda sedang menanti untuk diterima dan dinikmati.
Akaun CDS sebenarnya tidak boleh digunakan untuk memindahkan hasil pelaburan dalam bentuk tunai, dengan kata lain ia tiada kena mengena dengan urusan tunai.
Akaun CDS hanya berfungsi untuk menyimpan dan merekod keluar masuk saham atau sekuriti yang berkaitan saham yang dijual beli melalui pasaran saham. Hanya akaun bank yang boleh menerima dan memindahkan tunai.
Juga harus diketahui bahawa wang tunai dan saham adalah dua perkara berbeza.
Untuk membuka akaun CDS pula mangsa perlu mendeposit RM3000 (atau jumlah lain) sebagai deposit dan ia akan dikembalikan.
Persoalan, untuk apakah deposit tersebut sedangkan mangsa (pelabur) tiada apa-apa hutang (liabiliti) kepada scammer (yang mengaku sebagai agen atau broker).

Dalam pelaburan sebenar membuka akaun CDS adalah satu perkara yang wajib tetapi tidak perlu deposit. Ia hanya melibatkan yuran pembukaan sebanyak RM10.
Akaun CDS diperlukan hanya dalam pelaburan saham dan instrumen yang berkaitan saham. Pelaburan lain seperti forex, kripto, komoditi dan hartanah tidak memerlukan akaun CDS.
Bila diminta memasukkan deposit sebanyak RM3000 sebagai mangsa pasti sanggup membayar kepada scammer dengan jumlah tersebut kerana terlalu yakin RM20000 bersedia untuk diterima.
Dari asalnya modal RM300 kini perlu mencari modal tambahan RM3000. Dari mana untuk mendapatkan RM3000? Keluarkan duit simpanan atau pinjam dari rakan-rakan atau saudara mara.
Langkah 7 > Meminta Mangsa Membayar Lagi Kos-Kos Lain
Dua jerat sudah mengena melalui langkah 4 dan 6. Jerat demi jerat terus dirancang dan menunggu. Deposit ketika membuka akaun CDS telah dibayar . Mangsa hanya menunggu hasil sebagaimana yang dijamin.

Rupanya bukan setakat itu. Ada lagi yang mangsa perlu bayar dan langsaikan jika hasil pelaburan mahu dikeluarkan. Berbagai kos diperlukan yang bukannya sedikit tetapi beribu supaya beberapa halangan dalam proses mengeluarkan hasil pelaburan dapat dilaksana.
Antaranya yuran broker sehingga 10% (ada yang sampai 20%) dari hasil pelaburan, caj pelepasan dari BNM untuk wang dari luar negeri, caj untuk PIDM , caj untuk TAC code dan berbagai lagi caj yang dicipta yang sebenarnya tidak wujud dalam pelaburan tulen.
Akhir kata, awas dengan langkah scammer pelaburan, godaan datang dari LANGKAH 2 jerat mengena pada LANGKAH 4. Anda akan sangat yakin dan melonjak gembira pada LANGKAH 5 . Namun yang diimpikan diakhiri dengan penyesalan.
Dalam dunia pelaburan ia tidak semudah meniup belon yang saiznya boleh dibesarkan hanya beberapa minit.
Scam adalah palsu. Yang palsu bermula dari yang tulen. Maka anggapan bahawa “asal pelaburan ia adalah scam, asal saham ia adalah scam” harus dihindari. Hanya yang berilmu tahu membezakan antara palsu dan tulen.
Ilmu dan kesedaran adalah kaedah terbaik sebelum nasi menjadi bubur.
– Sabri Jalil