Seperti tidak masuk akal…..
Namun The Egdemarket (versi online) pada 18 Mei 2022 telah melapurkan bahawa XOX Berhad, sebuah syarikat tersenarai, melalui anak syarikatnya iaitu XOX Pro Sport Sdn Bhd membeli kelab bolasepak Perak FC Sdn Bhd (pengendali Perak FC) dengan harga RM1.00 (seringgit) dari pemilik asal.
(Rujukan : KLIK SINI)
Mengapa syarikat dibeli dengan hanya RM1.00?, dan mengapa pula pemilik sanggup menjual dengan harga tersebut?
Jika syarikat tersebut tidak mempuyai sebarang aset sekalipun namun kos menubuh dan mendaftar syarikat sudah ribuan ringgit dan tidak pulang modal dengan menjual pada harga RM1.00. Inikan pula menjual syarikat yang masih mempunyai aset. Apakah rasionalnya?
Bagi setengah orang mungkin satu perkara yang sukar dipercayai atau pelik, lebih-lebih lagi harga RM1.00 adalah untuk keseluruhan dan bukan harga sesaham.
Dengan kata lain bayar RM1.00, syarikat akan jadi milik sepenuhnya dan asetnya sekali jika ada.
Ia adalah perkara biasa sebenarnya . Syarikat yang diambilalih atau dibeli dengan harga RM1.00 adalah kerana nilai aset bersihnya negatif.
Apa maksud nilai aset bersih yang negatif?
Nilai aset bersih yang negatif bukan bermakna tiada aset langsung tetapi ia negatif apabila nilai aset yang dimiliki lebih rendah dari jumlah hutang yang ditanggung oleh syarikat.
Contoh, jika nilai aset keseluruhan yang dimiliki oleh syarikat ialah RM9 juta tetapi jika jumlah hutang yang ditanggung ialah RM15juta, maka nilai aset bersihnya ialah negatif RM6 juta (-RM6 juta). Bermakna, jika syarikat menjual asetnya untuk menyelesaikan hutang ia masih berhutang sebanyak RM6 juta.
Maka, dengan membayar RM1.00 syarikat tersebut terus menjadi milik pelabur atau pembeli tetapi hutang syarikat berkenaan juga akan menjadi tanggungjawab pembeli selaku pemilik baru. Manakala pihak yang menjual akan menyerahkan syarikatnya dan terlepas dari tanggungjawabnya keatas hutang.
Peristiwa yang lebih besar berkaitan pengambilalihan syarikat dengan modal RM1.00 pernah berlaku di Malaysia dan ia melibatkan satu jenama besar.
AirAsia, sebuah syarikat penerbangan yang menjana keuntungan dari jutaan hingga ke bilion ringgit sebelum era Covid-19 asalnya adalah sebuah syarikat yang menanggung hutang sebanyak RM40 juta.
Dengan hutang sebanyak itu, pada tahun 2001 ia telah dibeli oleh Tony Fernandes, Datuk Pahamin Rejab dan Kamaruddin Meranun dengan harga RM1.00 dari DRB, iaitu pemilik asal.
Dengan membayar RM1.00 Tony Fernandes dan rakan-rakan niaganya telah memiliki AirAsia bersama aset-asetnya (antaranya pesawat) tetapi hutang yang ditinggalkan sebanyak RM40 juta dan kerugian adalah dibawah tanggungjawab mereka, selaku pemilik baru.
Kenapa ada pihak sanggup membeli syarikat yang menanggung hutang walaupun harganya adalah RM1.00?
Pelabur sanggup membeli apabila ia nampak akan potensi syarikat berkenaan dan mempunyai jalan bagaimana untuk memulih syarikat yang rugi kepada untung dan nilai aset bersih yang negatif kepada positif’.
Ia juga adalah cara memulakan perniagaan tanpa modal besar.
Dalam kes AirAsia, Tony Fernandez sanggup membeli kerana beliau mempunyai idea untuk mengubah model perniagaan (business model) AirAsia kepada penerbangan tambang murah yang belum ujud di Malaysia pada masa itu.
Atas keyakinan potensinya besar, beliau dan rakan-rakan sanggup mengambilalih syarikat yang sedang berhutang, namun hanya perlukan RM1.00 untuk memulakan.
Idea adalah modal yang paling penting dan ternyata beberapa tahun selepas pengambilalihan, AirAsia menjadi syarikat yang menguntungkan dan kemudian disenarai di pasaran saham.
– Sabri Jalil