Ia adalah singkatan untuk “ordinary right”.
OR berkaitan dengan penerbitan saham baru oleh syarikat melalui terbitan hak (right issue).
Jika syarikat menerbitkan saham baru dan pelabur memiliki sahamnya sehingga tarikh yang ditetapkan (dikenali sebagai x-date) OR akan muncul dalam portfolio pelabur.
Katakan pelabur memliki saham MYEG, maka OR akan ujud sebagai MYEG-OR dalam portfolio.
Bagi setengah pelabur yang tidak faham tentang terbitan hak, kemunculannya agak mengejutkan, malah menghairankan kerana tidak pernah membeli kaunter baru tersebut. Sebenarnya ia diberi secara percuma.
Bila pelabur mendapat OR bermakna pelabur layak untuk melanggan saham baru dan ditawarkan untuk melanggan. Pendaftar akan menghantar borang kepada pelabur dan borang itulah yang dipanggil OR.
Diulangi sekali lagi OR sebenarnya adalah borang. Pelabur perlu mengisi dan memulangkan borang tersebut jika berminat untuk melanggan saham baru sebelum tarikh tutup.
Walaupun OR atau borang tersebut adalah percuma tetapi untuk melanggan saham baru memerlukan modal mengikut harga saham baru yang telah ditetapkan. Jumlah atau kuantiti saham baru yang boleh dilanggan pula bergantung kepada nisbah yang ditetapkan.
Jika nisbah ialah 1:2 (dalam perkataan disebut sebagai ‘satu untuk dua’) bermakna pelabur layak melanggan 1 saham (unit)) untuk setiap 2 saham (unit) yang dimiliki. Jika pelabur mempunyai 10 ribu saham, ia layak untuk menlanggan 5000 saham.
Walaupun pelabur diberi OR sebagai tanda layak melanggan, namun melanggan bukan wajib tetap hanya satu pilihan. Dengan kata lain terpulang kepada pelabur untuk melanggan atau sebaliknya.
Jika pelabur tidak berminat untuk melanggan, apa yang perlu dilakukan?
Dicadangkan pelabur jual sahaja OR tersebut. Perlu diingat OR mempunyai tarikh luput dan disenarai hanya lima hari sahaja. Cara menjual adalah sama seperti mana pelabur menjual saham atau kaunter yang lain.
Jika berjaya menjual pelabur akan mendapat wang tambahan (tanpa modal kerana ia
percuma) tetapi jika gagal ia akan lupus begitu sahaja.
Dari pengalaman, ramai juga pelabur tidak menjual dan membiarkan OR kekal dalam portfolio kerana tidak mengetahui ia mempumyai tarikh luput dan tempoh penyenaraian yang sangat pendek. Ini banyak berlaku dikalangan pelabur baru yang kurang pengetahuan dan pengalaman.
VERSI VIDEO UNTUK ARTIKEL BERKAITAN;
Implikasi kepada pelabur yang sudah menjual OR, pelabur hilang kelayakan untuk
melanggan saham baru. Sebaliknya bagi pelabur yang asalnya tidak layak melanggan pula, ia boleh melayakkan dengan membeli borang di pasaran saham.
Jika menjual OR bermakna menjual borang dan melepaskan hak melanggan, maka membeli OR bermakna membeli borang dan mendapatkan hak untuk melanggan.
Didapati, oleh kerana OR harganya murah, ada dikalangan pelabur membeli OR untuk tujuan trading. Sekali lagi ia berlaku kalangan pelabur yang tidak mengetahui tentang OR.
Maka dinasihatkan, jangan membeli OR untuk tujuan trading iaitu bertujuan menjana keuntungan melalui pergerakan harga sebagaimana kaunter atau saham biasa. OR tidak sesuai untuk tujuan trading kerana berisiko tinggi ekoran daripada tarikh penyenaraian yang sangat pendek. Harganya pula semakin ia menghampiri tarikh akhir penyenaraian, semakin menurun juga.
Pelabur hanya digalakkan membeli jika ingin melanggan saham baru atau terbitan hak sahaja.
– Sabri Jalil