Ia adalah jualan yang dibuat hanya beberapa minit selepas membeli. 

Benarkah definisi tersebut? Tidak  sama sekali, tetapi masih ada yang berfahaman demikian.

Maksud sebenar jualan singkat (short selling) ialah menjual dahulu saham yang tidak dimiliki dan membelinya kemudian. Ia bertentangan dengan amalan biasa iaitu beli dahulu dan jual kemudian (yang dikenali sebagai ‘long”) dalam usaha menjana untung.

Pelabur melaksanakan jualan singkat ketika pasaran atau harga sesuatu saham dijangka jatuh.

Sekadar contoh, pelabur akan menjual saham A (walaupun tidak pernah membeli dan memlikinya ketika itu) pada harga RM5.50 kerana menjangkakan harga saham A akan jatuh dan membelinya selepas itu pada harga lebih rendah iaitu RM5.00 . Perbezaan antara harga jual dan beli iaitu RM0.50 ialah keuntungan dari aktiviti dagangan jualan singkat.

Namun jika jangkaan meleset iaitu saham yang dijangka jatuh bergerak sebaliknya, pelabur akan menanggung kerugian dari perlaksanaan jualan singkat kerana terpaksa membeli dengan harga lebih tinggi dari harga jualan yang dilaksanakan sebelumnya. 

 

Di Bursa Malaysia ada dua jenis jualan singkat;

Pertama > Intraday Short Selling (IDSS)

Ia mesti dilaksanakan dalam tempoh hari yang sama (intraday). Mesti dijual singkat (iaitu dibeli selepas dijual) sebelum pasaran ditutup.

Kedua > Regulated Short Selling (RSS) 

Ia tidak terhad berapa lama pelabur ingin melaksanakanya. Namun RSS hanya untuk kaunter terpilih sahaja (yang dibenarkan oleh bursa) iaitu yang kukuh dari segi fundamental.

Oleh kerana tempoh untuk melaksanakan jualan singkat tidak terhad (tidak seperti IDSS), maka RSS akan melibatkan peminjaman sijil saham.

Mengapa perlu pinjam sijil saham?

Dalam apa saja aktiviti jual beli, bila kita sudah menjual barang kepada pembeli, barang yang dijual mesti diserah kepada pembeli. Dalam jual beli saham pula, apabila pelabur sudah menjual saham mesti diserah kepada pembeli.

Namun dalam jualan singkat pelabur menjual sesuatu saham yang ia tidak miliki, maka bagaimana untuk menyerahkan saham kepada pembeli? 

Jalan penyelesaian ialah pinjam dahulu dari pihak ketiga yang memiliki saham berkenaan untuk diserah kepada pelabur yang membeli.

Sudah selesaikah urusniaga? Jawapanya belum. Pelabur yang menjual perlu memulangkan semula saham yang dipinjam sebelum itu.

Bagaimana penyelesaian?

Bila pelabur yang menjual saham sebelum itu membeli semula saham berkenaan ia akan mendapat semula saham (sijil) tersebut dan akan dipulangkan semula kepada pihak yang meminjamkan saham berkenaan. Pihak yang meminjamkan saham berkenaan telah dapat semula sahamnya dan selesai satu pusingan urusniaga “short selling”.

 

– Sabri Jalil

By Sabri Jalil

SABRI JALIL ialah Wakil Peniaga Saham Berlesen (Remisier) di Kenanga Investment Bank sejak 1996. Beliau juga adalah penganjur dan Speaker seminar pelaburan saham. Beliau boleh dihubungi melalui 013-7233600/010-3726063