Bukankah apabila pelabur membeli saham di pasaran saham , wang yang dibayar keatas pembelian akan diterima oleh pelabur yang menjual saham berkenaan?.
Bermakna pembayaran atas pembelian saham oleh pelabur yang membeli pergi ke pelabur yang menjual dan bukan syarikat.
Jika begitu mengapa ia (pelabur yang membeli ) boleh menerima dividen sedangkan ia nampak tidak menyumbang modal kepada syarikat?
Di atas ialah antara beberapa soalan yang pernah dilontarkan oleh seorang peserta kursus.
Saham dalam ertikata lain ialah modal. Memiliki saham bermakna memegang modal syarikat, dalam kata lain juga adalah pemilik syarikat.
Dalam ilmu ekonomi, pulangan untuk pemilik tanah/hartanah adalah sewa. Pulangan bagi modal adalah untung.
Saham ialah bahagian modal atau pemilikan dalam sesuatu perniagaan atau syarikat. Pulangannya adalah untung dalam bentuk dividen.
Dividen ialah sebahagian untung syarikat yang diagihkan kepada tuan punya modal iaitu pemegang saham.
Syarikat menerima modal atau dana apabila ia menerbit saham baru melalui IPO (initial public offering atau tawaran awam permulaan) sebelum disenarai di pasaran saham.
Apabila IPO dibeli atau dilanggan oleh pelabur, pelabur mendapat saham dan menjadi tuanpunya modal dalam syarikat, istilah lain ialah pemegang saham . Syarikat pula menerima modal dari pelabur untuk mengembangkan perniagaannya.
Bila sudah disenarai di pasaran saham , pemegang saham yang membeli melalui IPO boleh menjual kepada pelabur lain di pasaran saham juga. Apabila pelabur sudah menjual sahamnya , ia kini sudah tidak lagi menjadi pemegang saham atau pemilik modal untuk syarikat berkenaan. Maka itu tiada lagi berhak untuk menerima dividen.
Sebaliknya pelabur yang membeli saham di pasaran saham dianggap mengambilalih modal dan pemilikan syarikat dari pelabur yang menjual. Oleh kerana pelabur yang membeli kini menjadi pemegang saham (modal) syarikat, maka ia berhak keatas keuntungan syarikat atau dividen manakala pelabur yang menjual tidak berhak kerana saham atau hakmiliknya telah dilepaskan.
Ibarat sebuah rumah, pemilik rumah mendapat hasil dari kutipan sewa, namun jika rumah tersebut dijual, pemilik baru pula yang mendapat hasil sewa. Konsep yang sama terpakai dalam saham dan syarikat.
Jual beli saham di pasaran saham setiap hari menunjukkan ada modal syarikat yang bertukar pemilik setiap saat, minit dan jam.
– Sabri Jalil