
Bagi anda yang tidak pernah membaca sejarah Asia Tenggara mungkin tidak pernah menyedari bahawa Syarikat Hindia Timur Belanda atau ringkasnya VOC adalah syarikat awam pertama di dunia yang menerbitkan saham.
Maka ia juga menjadi syarikat pertama dimana sahamnya disenarai pasaran saham.
Ditubuhkan pada tahun1602 dan beribu pejabat di Amsterdam, VOC diberi tanggungjawab memonopoli perdagangan komoditi terutamanya rempah ratus di Asia Tenggara, khususnya dibeberapa wilayah Indonesia.

Demi mencapai matlamat tersebut, modal yang besar diperlukan untuk membina dan mempunyai kapal-kapal dagang dan perang.
Kapal-kapal dagang diperlukan untuk mengangkut hasil bumi, terutama rempah ratus, dari Asia Tenggara, terutama Indonesia ke Eropah. Manakala kapal perang diperlukan untuk melindungi kekuasan Belanda di tanah-tanah jajahan demi melindungi kepentingannya termasuk monopoli perdagangan rempah.
Maka, VOC menerbit dan menjual sahammya kepada orang awam dengan tujuan untuk menjana modal.
Urusan jual beli saham VOC dikalangan pelabur dilakukan diatas jambatan Sungai Amstel di bandar Amsterdam yang sekali gus menjadi pasaran saham pertama di dunia dan kemudiannya dipanggil sebagai Amsterdam Stock Exchange.
VOC ujud dan beroperasi selama kira-kira 200 tahun. Ia dibubarkan pada tahun 1799 dan selama tempoh tersebut VOC telah membayar dividen sebanyak 18% setahun kepada para pemegang sahamnya. Kadar tersebut merupakan satu pembayaran dividen yang lumayan kepada pelabur.
VOC bukan sahaja menjadi syarikat awam pertama di dunia tetapi juga syarikat multinasional yang pertama didunia.

- Sabri Jalil