Berenang ialah satu aktiviti fizikal yang baik dan ia perlukan ilmu. Berisiko jika berenang tanpa mempelajarinya.
Pernahkah anda berenang dalam sungai yang pastinya mempunyai arus?. Jika pernah anda pasti akan merasai pengalaman berbeza bila berenang dalam arah arus yang berbeza.
Anda mungkin boleh berenang dalam keadaan apa jenis arus jika ada kemahiran berenang tetapi kekuatan dan kelajuan renangan anda mungkin berbeza.
Jika berenang mengikut arus, ia lebih mudah dan laju renangannya. Namun jika melawan arus, anda tetap mampu berenang tetapi keupayaan dan kelajuan adalah lebih perlahan.
Ketika berenang anda mungkin mampu melawan arus agak jauh tetapi pada satu tahap terpaksa menukar arah iaitu mengikut arus pula. Ada ketika hanya baru beberapa meter sahaja berenang melawan arus anda terpaksa mengikut arus kerana arus terlalu kuat untuk direnang secara berlawanan.
Maka itu sejauh mana jarak yang mampu direnangi secara melawan arus sungai ialah bergantung kepada kekuatan arus dan keupayaan serta kemahiran menentang arus.
Disebalik itu ada juga mereka yang tidak boleh berenang menentang arus tetapi hanya mampu mengikut arus.
Maka secara umum, pencapaian dan kepantasan untuk sampai ke destinasi renangan akan berbeza disebabkan oleh kemahiran berenang dan arus yang berbeza.
Keadaan yang sama boleh berlaku dalam pasaran saham.
Ketika pasaran jatuh kerana sentimen yang negatif tidak semua saham jatuh harganya. Ada yang naik tetapi biasanya bilangan adalah minoriti. Begitu juga bila pasaran saham naik secara keseluruhan kerana sentimen yang positif, tidak semua saham harganya naik tetapi ada yang turun dan bilangannya adalah minoriti.

Dalam keadaan pasaran keseluruhan menaik (bullish) atau menurun (bearish) akan ada sebilangan saham turun atau naik bertentangan dengan sentiman pasaran.
Anda boleh andaikan bahawa pasaran saham itu sebagai sungai yang berarus. Cuma dari segi realiti sungai hanya mempunyai satu arus manakala pasaran saham mempunyai tiga arus iaitu menaik (uptrend), menurun (downtrend) dan mendatar (sideway)
Untuk tujuan analisis dan pemahaman anda boleh gambarkan kejatuhan pasaran saham sebagai satu arus dan ketika itu ada beberapa saham yang harganya bergerak menentang arus, iaitu ia meningkat ketika kebanyakan harga saham sedang jatuh.
Mungkin anda berkeinginan untuk membeli saham yang menentang arus ini kerana didapati ada potensi untuk meningkat setelah dianalisis dari segi teknikal atau fundamental, atau kedua-duanya sekali.
Bukan satu kesalahan untuk membeli dalam situasi seperti ini asalkan tidak membeli secara sembrono dan tanpa analisis. Namun satu perkara yang anda harus tahu ketika membeli semasa menentang arus ialah kekuatan atau kelajuan harga adalah berbeza berbanding ketika mengikut arus.
Dengan kata lain , potensi sesuatu saham untuk bergerak jauh dalam keadaan pasaran keseluruhannya meningkat (mengikut arus) adalah tinggi dan lebih mudah mencapai harga sasaran, malah mungkin lebih jauh.
Sebaliknya dalam keadaan pasaran keseluruhannya menurun, sesuatu saham walaupun harganya naik (secara menentang arus) pergerakannya tidak semudah ketika pasaran meningkat. Berkemungkinan besar pergerakannya menjadi terhad, sukar mencapai sararan dan berubah mengikut arus turun pasaran setelah meningkat untuk seketika.
Fenomena ini perlu diketahui supaya anda sentiasa mempunyai sikap waspada dan tidak terlalu bercita-cita tinggi dalam mencipta keuntungan ketika sentiman pasaran adalah negatif. Jika anda dapat menjual pada harga lebih rendah berbanding harga potensi yang anda jangka, ia diangggap satu kejayaan kerana anda masih mampu menjana untung ketika pasaran menurun. Tidak mengapa untung sedikit asal tidak rugi.
Bagaimana pula kalau anda mengambil keputusan untuk tidak membeli sebarang saham atau “stay away” ketika pasaran keseluruhan menurun walaupun ada beberapa saham meningkat harganya?
Ia juga satu tindakan yang bijak kerana kesanggupan anda menanggung risiko dalam keadaan pasaran yang sedemikian perlu diambil kira.
Satu lagi faktor ialah ilmu anda.
Tanpa ilmu berenang anda akan tewas di sungai, tanpa ilmu pelaburan anda akan tewas di pasaran saham lebih-lebih lagi jika tiada ilmu bagaimana melawan arus.
- Sabri Jalil