Dikalangan pemain lama dalam dagangan saham mungkin sudah terbiasa dengan istilah kaunter sikat. Namun dikalangan yang baru berjinak (newbie) mungkin tertanya-tanya tentang maksud istilah ini.
Istilah ini tidak ujud dalam mana-mana buku pelaburan kerana ia bukan satu istilah resmi tetapi hanya sebagai istilah bahasa pasar dalam dagangan saham. Ia juga bukan bermaksud syarikat berkenaan adalah pengeluar sikat.
Kaunter sikat ialah kaunter atau saham yang pergerakannya mendatar dalam jajaran yang terhad atau sempit untuk tempoh yang agak lama. Dengan kata lain harga tertinggi dan terendah berada pada tahap yang sama dengan jajaran hanya dalam satu atau dua bida dalam tempoh yang lama. Hasilnya ia terbentuk seperti sikat terutamanya jika dipandang dari sudut carta candlestick atau carta bar.
Pergerakan mendatar dalam jajaran yang terhad berlaku disebabkan tiada pemangkin yang positif atau negatif untuk mengerakkan harganya samada keatas atau kebawah.
Jika anda seorang pedagang yang lemah dari segi kuasa pegangan, elakkan kaunter seperti ini melainkan aliran positif mula tercetus.

Sabri Jalil
http://kursussaham.com
Anda boleh berenang?
Jika boleh ia adalah satu pengalaman yang baik. Pernahkah anda berenang dalam sungai yang pastinya mempunyai arus. Anda akan merasai pengalaman berbeza bila berenang dalam arah arus yang berbeza.
Anda mungkin boleh berenang dalam keadaan apa jenis arus jika ada kemahiran berenang tetapi kekuatan dan kelajuan renangan anda mungkin berbeza. Jika berenang mengikut arus, ia lebih mudah dan laju renangannya. Jika berenang menentang arus, anda tetap mampu berenang tetapi keupayaan dan kelajuan adalah lebih perlahan.
Ada ketika anda sudah berupaya menentang arus tetapi pada satu tahap terpaksa menukar arah mengikut arus. Ada ketika baru sahaja mengikut arus anda sudah terpaksa mengikut arus pula. Ia bergantung kepada kekuatan arus dan keupayaan menentang arus.
Disebalik itu ada juga mereka yang tidak boleh berenang menentang arus tetapi hanya mengikut arus.
Maka secara umum, pencapaian dan kepantasan untuk sampai ke destinasi renangan akan berbeza kerana kemahiran renang dan arus yang berbeza.
Keadaan yang sama boleh berlaku dalam pasaran saham.
Ketika pasaran jatuh kerana sentimen yang negatif tidak semua saham jatuh harganya. Ada yang naik tetapi biasanya bilangan adalah minoriti. Begitu juga bila pasaran saham naik secara keseluruhan kerana sentimen yang positif, tidak semua saham harganya naik tetapi ada yang turun dan bilangannya adalah minoriti.
Anda boleh andaikan bahawa pasaran saham itu sebagai sungai yang berarus. Cuma dari segi realiti sungaI hanya mempunyai satu arus manakala pasaran saham mempunyai dua arus.
Untuk tujuan analisis dan pemahaman anda boleh gambarkan kejatuhan pasaran saham sebagai satu arus dan ketika itu ada beberapa saham yang harganya bergerak menentang arus, iaitu ia meningkat ketika kebannyakan harga saham sedang jatuh.
Mungkin anda berkeinginan untuk membeli saham yang menentang arus ini kerana didapati ada potensi setelah dianalisis dari segi teknikal atau fundamental, atau kedua-duanya sekali. Bukan satu kesalahan untuk membeli dalam situasi seperti ini asalkan tidak membeli secara sembrono dan tanpa analisis. Namun satu perkara yang anda harus tahu ketika membeli semasa menentang arus , iaitu kekuatan atau kelajuan harga adalah berbeza berbanding ketika mengikut arus.
Dengan kata lain , potensi sesuatu saham untuk bergerak jauh dalam keadaan pasaran keseluruhannya meningkat adalah tinggi dan lebih mudah mencapai harga sasaran, malah mungkin lebih jauh.
Sebaliknya dalam keadaan pasaran keseluruhannya menurun, sesuatu saham walau harganya naik pergerakannya tidak semudah ketika pasaran meningkat. Berkemungkinan besar pergerakannya menjadi terhad, sukar mencapai sararan dan berubah mengikut arus turun pasaran setelah meningkat untuk seketika.
Fenomena ini perlu diketahui supaya anda sentiasa mempunyai sikap yang waspada dan tidak terlalu bercita-cita tinggi dalam mencipta keuntungan dalam pasaran yang negatif. Jika anda dapat menjual pada harga lebih rendah berbanding harga potensi yang anda jangka pada asalnya, ia diangggap satu kejayaan kerana anda masih mampu menjana untung ketika pasaran menurun. Tidak mengapa untung sedikit asal tidak rugi.
Bagaimana pula kalau anda mengambil keputusan untuk tidak membeli sebarang saham atau “stay away” ketika pasaran keseluruhan menurun walaupun ada beberapa saham meningkat harganya?
Ia juga satu tindakan yang bijak kerana kesanggupan anda menanggung risiko dalam keadaan pasaran yang sedemikian perlu diambil kira.
Satu lagi faktor ialah ilmu anda.
Tanpa ilmu berenang anda akan tewas di sungai, tanpa ilmu pelaburan anda akan tewas di pasaran saham lebih-lebih jika tiada ilmu bagaimana melawan arus.
Sabri Jalil
Dalam dunia pelaburan mungkin anda pernah mendengar istilah wang panas atau “hot money”.
Dikalangan pelabur mungkin ada yang menanggap wang panas ialah wang atau hasil yang datang dari kegiatan diluar batasan undang-undang seperti rasuah, perniagaan haram dan sebagainya. Anggapan itu tidak tepat atau mungkin hanya benar diluar kontek dunia pelaburan.

Dalam kegiatan pelaburan atau kewangan , wang panas didefinisikan sebagai wang atau dana yang dipindahkan oleh pelabur atau pengurus dana dari satu negara/wilayah ke negara/wilayah yang lain dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek hasil daripada kenaikan kadar faedah di sesuatu negara.
Pergerakan wang panas yang merentas sempadan akan berlaku apabila sesuatu kerajaan menaikkan kadar faedahnya. Sebagai contoh, Amerika Syarikat melalui bank pusatnya, Federal Reserve, pernah beberapa kali menaikkan kadar faedahnya dan telah menyebabkan pengaliran keluar dana dari negara-negara tertentu ke Amerika Syarikat

Memandangkan bahawa dana yang dialirkan keluar juga melibatkan dana dalam pasaran saham di sesebuah negara maka pasaran saham di negara berkenaan akan mengalami kejatuhan . Namun kejatuhan berlaku kebiasaan hanya dalam tempoh jangka pendek kerana pengurus dana akan kembali semula ke pasaran saham selepas tempoh pelaburan berpendapatan tetap berakhir.
Maka itu apabila sesebuah negara berura-ura untuk menaikkan kadar faedah terutama negara ekonomi besar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain ia seharusnya diberi perhatian oleh pelabur atau pedagang pasaran saham.
Sabri Jalil
Bolehkah saya menjual saham yang telah saya beli sedangkan saya belum membuat bayaran kerana tempoh bayaran belum tiba?
Soalan di atas telah diajukan oleh seorang pelabur kepada saya.
Apabila anda membeli saham, tempoh bayaran ialah 2 hari selepas tarikh pembelian. Tarikh tersebut dipanggil sebagai T+2. Sebagai contoh apabila anda membeli saham pada hari Isnin hari terakhir pembayaran ialah pada hari Rabu, tidak termasuk cuti umum yang melibatkan Wilayah Persekutuan.
Kaedah pembayaran ialah samada melalui kaunter pembayaran syarikat broker saham, melalui bank iaitu cek/tunai dikaunter , pindahan ATM atau talian.
Bagi pelabur yang mempunyai trust account dengan syarikat broker saham pembayaran dibuat dengan mendebitkan dari akaun tersebut pada hari kedua selepas tarikh pembelian.
Dalam keadaan pasaran sedang meningkat dengan kuat sering terjadi harga bergerak meningkat dengan pantas. Mungkin kenaikan harga berlaku pada hari yang sama dengan pembelian. Mungkin juga hari berikutnya. Pada tarikh tersebut anda belum membuat pembayaran kerana tarikh pembayaran ialah hari kedua (T+2). Persoalannya bolehkah anda menjual saham tersebut? Jawapannya anda boleh jual untuk mengambil keuntungan sebelum membuat pembayaran.
Apabila saham dijual sebelum pembayaran untuk pembelian itu dibuat, jualan tersebut dipanggil sebagai dagangan kontra.
Jika harga jualan tersebut lebih tinggi daripada harga belian maka anda akan mendapat keuntungan dan untung tersebut dikenali sebagai untung kontra.
Sebaliknya jika anda bertindak menjualnya dalam tempoh tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga belian, maka anda akan mengalami kerugian dan ia dipanggil sebagai kerugian kontra.
Kesimpulannya, tiada masalah bagi pelabur untuk menjual sahamnya walau belum membuat pembayaran ke atas saham yang dibeli sebelumnya.
Sabri Jalil
http://kursussaham.com
Ramai dikalangan para sahabat menunjukkkan minat dan keinginan untuk melabur di pasaran saham. Soalan yang selalu dikemukakan ialah berapakah modal minimum untuk membolehkan mereka melabur di pasaran saham?
Mereka terkejut bila saya mengatakan tiada modal minimum ditetapkan. Selama ini mereka menyangkakan untuk melabur di pasaran saham mesti mempunyai jumlah wang yang besar, tetapi pada hakikatnya tidak.
Jumlah tersebut sebenarnya bergantung kepada apa saham yang hendak dibeli dan berapa pula harganya.
Di pasaran saham ada saham berharga mahal dan ada yang berharga murah termasuk dibawah seringgit yang dipanggil sebagai “penny stock”.
Sebagai contoh Scomi berharga RM0.51 sesaham, maka jika anda ingin membeli 10,000 unit maka anda perlu membayar RM5,100.00 (tidak termasuk komisen, duti stem dan yuran penjelasan)
Sebaliknya jika anda ingin membeli saham Digi, katakan walaupun hanya 1000 unit maka anda perlu membayar sebanyak RM22,520.00 kerana ia berharga RM22.52 seunit.
Dengan penerangan di atas, maka dapat disimpulkan bahawa jumlah minimum pelaburan ialah bergantung kepada apa dan berapa harga saham yang ingin dibeli dan juga bergantung jumlah terendah yang sanggup kita peruntukan daripada wang yang kita ada untuk pelaburan di pasaran saham.
Pelaburan dipasaran saham tidak semesti bermula dengan jutaan atau ratusan ribu ringgit.
Sebagai pendatang baru, anda tidak perlu memulakan dengan jumlah yang sebesar tu. Anda boleh memulakan dengan jumlah mengikut kesanggupan anda dan tidak semesti dengan jumlah yang besar sebagaimana yang dibayangkan selama ini.

Disini anda boleh mendapatkan pandangan dari remisier anda.
Sabri Jalil
http://kursussaham.com
“Saya fobia tengok kawan-kawan saya rugi melabur dalam pasaran saham”.
Itulah ungkapan yang diberikan kepada saya. Anehnya ungkapan itu keluar dari seseorang yang bergelar ahli akademik dalam bidang yang berkaitan perniagaan. Hati saya bertanya kenapa tidak dibuat kajian mengapa kawan-kawan itu rugi?
Dalam apa jua perniagaan ada yang gagal, ada yang berjaya.
Begitu juga dalam dunia pelaburan tidak kira samada pasaran saham, pasaran hadapan (derivative) ataupun forex. Ada yang selalu untung, ada yang kerap rugi.
Mengapa ada yang berjaya dan ada yang gagal?. Persoalan inilah yang perlu kita rungkaikan agar ia menjadi renungan dan jawapan kepada ungkapan di atas.
Para pelabur atau bakal pelabur seharusnya mengambil orang yang berjaya sebagai model tetapi bukan mengambil orang yang gagal sebagai model justeru mengelak daripada menceburkan diri dalam sesuatu bidang.
Dalam bidang apapun walaupun risikonya amat rendah kita tetap akan gagal seandainya kita sentiasa mengambil orang yang gagal sebagai model.
Dalam pasaran saham, sebelum kita membeli sesuatu saham adakah pelabur yang rugi ini pernah mengambil kira persoalan-persoalan yang selalu diambil kira oleh pelabur tulen berikut;
- Apakah kekuatan kewangan sesebuah syarikat? Iaitu berapakah nisbah kecairan, nisbah hutang-ekuiti, nilai asset bersih sesaham, pendapatan sesaham dll.
- Apakah rancangan perniagaan sesuatu syarikat pada masa akan datang? Dan juga business modelnya.
- Bagaimanakah rekod keuntungan dan pembayaran dividen untuk sekurang-kurangnya 5 tahun yang lalu dan apakah prospek keuntungan akan datang?
- Adakah memahami perniagaan yang dijalankan oleh sesebuah syarikat berkenaan?
- Adakah saham yang dibeli itu pada harga terlebih atau terkurang nilai.
Banyak lagi persoalan-persoalan yang diambil kira dalam menilai sesuatu saham. Walaupun anda mungkin gemar menggunakan kaedah anasila teknikal, asas fundamental lebih diambil kira.
Jika para pelabur gagal menjawap kepada persoalan-persoalan di atas, maka itu adalah jawapan sebenar mengapa pelabur selalu rugi dalam pelaburannya.
Ilmu yang membezakan antara pelabur yang berjaya dan gagal.
Tahukan anda, Conrad Alvin Lim seseorang pelabur berasal dari Singapura yang gagal beberapa kali, tetapi akhirnya menjadi pelabur yang berjaya setelah memperdalami ilmu pelaburan malah kini beliau adalah guru pelaburan.
Sabri Jalil
http://kursussaham.com
Ada yang kata beli saham bila harga tengah naik, ada yang kata beli bila harga turun. Mana satu yang betul ni?”
Itulah pertanyaan dari salah seorang yang baru kenal dalam satu majlis. Beliau memang berhajat mahu melabur dalam pasaran saham tetapi soalan yang bermain dikepalanya selama ini membuatkan beliau menagguhkan niatnya.
Soalan beliau itu amat bagus dan biarlah penerangannya dikongsi dalam blog ini.
Samada anda membeli ketika harga tengah menaik atau ketika turun, ia bergantung kepada objektif dan sikap terhadap risiko.
Adakah anda mahukan keuntungan lebih cepat tetapi perlu menghadapi risiko yang lebih tinggi?
Jika ya maka anda boleh membeli ketika harga sedang meningkat dan menjual ketika harga lebih tinggi. Ia dipanggil sebagai strategi momentum. Anda perlu mempunyai displin yang tinggi jika ingin mengamalkan strategi ini. Sikap tamak perlu dijauhi.
Pengetahuan analisis teknikal amat penting dalam strategi momentum. Antara aspek yang perlu diketahui ialah carta dan petunjuk teknikal. Perlu juga diketahui jenis petunjuk teknikal yang sesuai untuk straregi ini.
Adakah anda seorang yang sabar dengan tidak mengharapkan keuntungan yang sangat cepat tetapi kurang berisiko?
Jika ya, maka anda perlu membeli saham ketika harga jatuh (terutamanya bila ia mencapai tahap terendah) dan menjualnya ketika harga sedang meningkat. Strategi ini dipanggil sebagai kontrarian. Kontrarian bermaksud bertentangan iaitu membeli ketika ramai pelabur menjualnya (yang menyebabkan kejatuhan harga) dan menjual ketika ramai pelabur membeli (yang membuatkan harga meningkat).

Analisis fundamental amat penting dalam strategi ini. Lebih mantap jika dapat digabungkan dengan analisis teknikal.
Strategi ini mempunyai risiko yang lebih rendah (tetapi tidak bermakna tiada risiko) dan ia diamalkan oleh pelabur terkemuka dunia iaitu Warren Buffet dan John Templeton.
Umpamanya, John Templeton telah membeli saham-saham tujuh syarikat penerbangan Amerika Syarikat yang jatuh menjunam semasa peristiwa September 11 dan meraih keuntungan berbilion dollar seminggu selepas itu akibat harganya meningkat mendadak selepas kerajaan AS mengumumkan subsidi kepada 7 syarikat penerbangan tersebut.
Dengan kata lain, kenali diri anda dan tetapkan objektif anda agar anda mengamalkan strategi yang bersuaian.
Sabri Jalil
Masih terdapat golongan kita tidak dapat membezakan diantara amanah saham dan saham. Agak mengejutkan ia termasuk dikalangan mereka dari golongan profesional dan yang berpendidikan tinggi.
Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita masih asing dengan ilmu kewangan yang seharusnya mereka kuasai sebagaimana masyarakat lain dimana penguasaan ilmu kewangan mereka amat baik sekali.
Bagi setengah masyarakat kita, amanah saham dan saham adalah sama. Kefahaman mereka mungkin berdasarkan andaian namanya yang hampir sama. Malah kedua-duanya juga adalah alat pelaburan. Maka mereka jadi keliru dan menganggap amanah saham itu adalah saham.
Berikut adalah penerangan berkenaan amanah saham dan saham.
AMANAH SAHAM
Amanah saham ialah dana yang dikumpulkan dari ramai pelabur dan disatukan sebagai satu dana yang kemudiannya dilaburkan oleh pengurus dana bagi pihak pelabur. Pengurus-pengurus dana yang ujud di Malaysia ialan seperti PNB, Kenanga Investors, Public Mutual Fund, CIMB Wealth dan banyak lagi.
Setiap kumpulan dana akan diberi nama tertentu dan dilabur ke jenis pelaburan atau kumpulan saham tertentu oleh pengurus dana. Contoh, semua atau sebahagian daripada dana yang dikumpulkan akan dilaburkan didalam pasaran saham. Dana selebihnya (jika semua dana tidak dilaburkan dalam saham ) mungkin dilaburkan dalam sektor lain seperti hartanah, saham tak tersenarai dan lain-lain lagi.
Keuntungan dari pelaburan yang diuruskan oleh pengurus dana akan diagihkan kepada pelabur dalam bentuk dividen setiap tahun.
Amanah saham ada yang berharga tetap, contohnya ASB. Ada juga amanah saham yang berharga tidak tetap.
Bagi amanah saham yang berharga tetap, pelabur akan mendapat keuntungan dalam bentuk dividen sahaja. Amanah saham yang berharga tidak tetap pula, pelabur akan mendapat keuntungan dalam bentuk dividen dan kenaikan harga, sama seperti saham tetapi keuntungan dan risikonya lebih tinggi kerana nilainya ditentukan sekumpulan saham yang sering berubah di pasaran saham. Maka, pelabur memerlukan kebijaksanaan jika melabur dalam amanah saham berharga tidak tetap. Perkembangan pasaram saham juga perlu diikuti kerana ia mempengaruhi nilai semasa amanah saham.
Pelaburan amanah saham sesuai untuk pelabur yang tidak suka kepada risiko tinggi tetapi boleh berpuashati dengan kadar untung yang rendah iaitu sekitar 5 hingga 10 peratus setahun. Ia adalah pelaburan jangka panjang. Pelaburan amanah saham tidak memerlukan pengetahuan yang tinggi kerana ialah diserahkan kepada pengurus dana yang manir
Pelabur yang ingin melabur dalam amanah saham boleh melakukannya melalui agen yang dilantik oleh pengurus dana.
SAHAM
Berkenaan saham pula , ia adalah pembelian langsung keatas pemilikan sesuatu syarikat. Pemilikan itu dipanggil saham. Membeli saham bermakna membeli syarikat secara langsung dari pasaran saham. Pembelian (dan penjualan) dilaksanakan melalui broker/remisier. Saham syarikat mana yang ingin dibeli oleh pelabur , kuantiti dan harganya adalah bergantung kepada keputusan pelabur itu sendiri. Broker/remisier berperanan untuk melaksanakan mengikut keinginan pelabur dari segi saham apa yang ingin dibeli, kuantiti yang dikehendaki dan harga.
Pelaburan saham sesuai untuk mereka yang suka kepada risiko tinggi tetapi untung yang tinggi samada jangka pendek, sederhana atau panjang. Keuntungan dan risiko bergantung secara langsung kepada pergerakan harga pasaran. Keuntungan boleh berlipat kali ganda begitu juga risikonya dan memerlukan pengetahuan dan kemahiran untuk menukar risiko kepada keuntungan
KESIMPULAN
Amanah saham dan saham ada kaitan dengan pelaburan di pasaran saham. Amanah saham diuruskan oleh pihak ketiga yang dipanggil sebagai pengurus dana . Pulangan lebih rendah tetapi risiko juga rendah, Ia sesuai untuk jangkapanjang dan untuk pelabur yang tidak berani kepada risiko yang tinggi. Manakala saham ialah pelaburan langsung di pasaran saham. Risiko tinggi tetapi pulangan tinggi .Ia sesuai untuk pelabur yang berani menghadapi risiko yang tinggi.
Sabri Jalil
Ramai diantara para pelabur, walaupun sudah lama berkecimpung dalam pelaburan saham masih tidak dapat memberi takrifan yang tepat berkenaan saham.
Malah ada juga yang menyalahgunakan perkataan saham dengan mengujudkan program-program tertentu untuk menjana keuntungan. Perkataan saham pernah digunakan oleh satu skim cepat kaya untuk memancing orang-ramai menyertainya. Ini antara punca orang keliru tentang saham.
Tidak mengapa, disini diterangkan apakah sebenarnya saham.
Saham ialah bahagian pemilikan dalam sesuatu perniagaan atau syarikat. Jika anda mempunyai saham dalam sesuatu syarikat walaupun hanya seunit, bermakna anda adalah pemilik kepada syarikat tersebut. Yang membezakan anda dengan pemegang saham yang lain ialah peratusan pemilikan keatas syarikat tersebut.
Apabila anda mempunyai saham atau ekuiti dalam syarikat anda layak untuk mendapat dividen yang dibayar oleh syarikat.
Saham syarikat ada yang tersenarai dan ada yang tidak tersenarai. Bagi saham yang tersenarai anda boleh membeli dan menjual di pasaran saham. Pasaran saham di Malaysia dikenali sebagai Bursa Malaysia. Dulu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur atau BSKL.
Di pasaran saham, Bursa Malaysia contohnya, pelabur boleh mencipta keuntungan melalui turun naik harga pasaran. Ini adalah matlamat utama bagi kebanyakan pelabur saham di pasaran saham.
Bagaimana dengan forex, komoditi dan cryptocurrency?
Ada beranggapan bahawa forex, komoditi dan cryptocurrency adalah saham. itu tidak benar sama sekali.
Samada forex, komoditi (seperti emas, minyak mentah dll) dan cryptocurrency adalah instrumen pelaburan yang didagang seperti saham tetapi ia bukan saham. Ciri-ciri antara satu sama lain adalah berbeza sekali.
Forex adalah berkaiatan dengan dagangan matawang asing seperti USD, Yen, Euro dan lain-lain. Jika anda membeli matawang asing , contohnya USD, maka anda akan mendapat USD anda akan melepaskan USD jika menjualnya
Komoditi ialah barangan utama yang boleh diproses semula kepada barangan lain. Contoh minyak sawit mentah (CPO) boleh diproses kepada minyak masak, majerin dan sebagainya. Minyak mentah petroleum seperti yang didagang dengan nama WTI dan Brent boleh diproses semula kepada petrol, diesal , karosen dan lain-lain. Emas adalah termasuk dalam komoditi.
Cryptocurrency pula adalah berkenaan dengan matawang digital, Anda akan mendapat dan memegangnya setelah membeli. Ia menjadi milik anda dan boleh digunak sebagaiamana wang fiat tetapi anda boleh menjualnya jika anda mahu jika ia menguntungkan.
Jelas setiap satu diatas mempunya ciri berbeza antara satu sama lain dan berbeza juga dengan saham . Namun kesemua adalah instrumen pelaburan yang boleh dijual beli untuk keuntungan sebagaimana juga saham.
Bagaimana pula kalau membeli saham? Bila anda membeli saham, anda akan dapat saham dan ia menjadi aset anda. Anda boleh menjual dan melepaskan untuk menjana keuntungan.
Kesimpulannya , forex, komoditi dan cyptocurrency adalah bukan saham tetapi ia adalah sebahagian instrument pelaburan sepertimana juga saham.
Sabri Jalil
Satu perkara merbahaya yang perlu dijauhi oleh pelabur/pedagang ialah sikap “suka menyedapkan hati”.
Maksud ungkapan ini ialah anda sering memberitahu diri sendiri bahawa saham yang dipegang sekarang akan meningkat semula walaupun sudah ada tanda-tanda akan jatuh berterusan. Anda terus memegangnya kerana saham tersebut masih dalam kedudukan rugi dan kerana takutkan rugi maka anda enggan melepaskannya.
Untuk menyedapkan hati maka anda mengandaikan bahawa ia pasti akan meningkat semula dalam tempoh singkat walaupun andaian anda tiada asas yang kukuh, lantaran anda memujuk diri sendiri supaya jangan menjualnya sekarang.
Untuk menjadi pelabur/pedagang yang berjaya, sila hindari sikap negatif ini.
Jika ada ‘red flag’ keatas saham yang anda kerana ada isu-isu tertentu dan dari segi teknikal ada petunjuk akan jatuh berterusan dan tiada potensi untuk meningkat semula ketika itu, maka anda perlu bertindak menjual secepat mungkin walaupun dalam keadaan rugi.
Memang benar akan rugi tetapi tindakan demikian akan mengelakkan anda mengalami rugi yang lebih besar. Tindakan ini dipanggil sebagai “cut loss”.
Menjual untuk mengelak rugi atau rugi menjadi lebih besar tidak semestinya anda melupakan terus. Mungkin anda boleh membeli semula jika ada petanda bahawa harga akan meningkat semula tetapi mesti bersandarkan kepada asas yang kukuh samada teknikal atau fundamental.
Sebaik-baiknya gunakan petunjuk teknikal sebagai panduan kerana dengan teknikal anda boleh membaca perubahan sentimen. Apapun anda perlu mengetahui bagaimana untuk membaca petunjuk teknikal yang sebenarnya tidak sukar. Petunjuk teknikal akan memberi isyarat kepada anda dari segi masa sesuai (timing) untuk membeli dan menjual.
Maka anda dinasihatkan mempelajarilah ilmu petunjuk teknikal untuk menjadikan anda sebagai pelabur yang lebih berjaya.
Sabri Jalil



