* Gelagat Harga & Petunjuk Teknikal

Harga saham, forex, komoditi, cyptocurrency dan lain-lain  tidak akan bergerak secara garis lurus. Jika ini berlaku ia dianggap sebagai satu perkara yang luar biasa. Melabur menjadi sesuatu kerja yang cukup mudah. Tidak perlu ilmu dan tidak perlu berfikir. Cukup hanya dengan pejam mata.

Sebaliknya saban saat, minit, jam, hari dan minggu harga bergerak secara rambang. Pergerakan  “ke sana ke sini, ke sana ke sini” itu adalah satu sifat yang tulen dan menyebabkan pelaburan dalam instrumen berkenaan menjadi tinggi risikonya.

Kerana gelagatnya yang sedemikian, maka telah ujud analisis teknikal terutama petunjuk teknikal sebagai panduan untuk membaca pergerakan harga pada masa akan datang.

Ada berbagai-bagai petunjuk teknikal yang ujud dan difahamkan bermula dari ujudnya pasaran saham dan sehingga kini ada lebih 200 bilanganya. Perlukah menguasai semua?

Jawapannya terpulang kepada anda tetapi penggunaan terlalu banyak  petunjuk teknikal dalam satu masa untuk sesuatu instrumen pelaburan adalah tidak perlu. Jika anda cuba menggunakan terlalu banyak petunjuk teknikal dalam satu masa, ia mungkin akan diluar kawalan , maka hasrat anda untuk menjadi pelabur mungkin tidak akan kesampaian. Ini kerana masa anda akan dihabiskan mencari isyarat bagi setiap petunjuk teknikal sedangkan harga sentiasa bergerak.

Orang lain sudah membuat untung anda pula sepanjang masa masih sibuk dengan petunjuk teknikal. dari awal hingga ke akhir pasaran. Mungkin juga hingga ke larut malam.

Anda boleh mempelajari lebih dari satu petunjuk teknikal kerana setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangan . Penggabungan akan menjadikan ia sebagai satu sistem untuk menampung kekurangan antara satu sama lain,  disamping membolehkan pelabur melihat peluang membeli dan menjual dari berbagai sudut . Penggabungan petunjuk teknikal juga boleh berubah mengikut kesesuaian sentimen pasaran dan objektif  pelaburan tetapi bilangannya mesti pada tahap terkawal.

Contoh, anda boleh menggabungkan petunjuk RSI, MACD dan SMA. Setiap satunya punyai fungsi yang berbeza untuk anda. RSI akan berfungsi sebagai petunjukan awal. MACD yang mencetus isyarat lebih lewat berfungsi sebagai sokongan, manakala SMA sebagai petunjuk muktamad.

Anda juga mungkin penggemar teknik “chart pattern” , atau mungkin juga candlestick. Petunjuk teknikal seperti MACD, SMA dan lain-lain boleh digabungkan sebagai sokongan kepada teknik yang anda gemari. Namun sekali diingatkan , bilangan mesti dalam keadaan yang mampu dikawal. Ia mungkin berbeza bilangannya untuk setiap individu.

Kuasai dan amalkan dahulu mana yang mudah difahami, yang lebih sukar kemudian. Langkah demi langkah. Anda pasti mampu menguasai.

 

Sabri Jalil

kusussaham.com

Scroll to Top