* Langgan IPO Atau Beli Saja Di Pasaran?

Kepada yang melanggan IPO boleh untung ke? Daripada melanggan IPO lebih baik beli pada harga support selepas disenarai… Tanya je…

Ayat diatas adalah dorongan untuk membincangkan persoalan di atas.

Ia adalah status dalam media sosial oleh seorang trader ekoran daripada penyenaraian Swift Haulage  yang menunjukkan prestasi lemah dan ditutup rugi pada hari pertama. Selain trader beliau juga menganjurkan kelas saham.

Setiap komen atau pandangan perlu dihormati.

Komen tersebut juga mungkin mempunyai objektif tersendiri, tetapi jika bermaksud untuk mempersoalkan (walaupun seperti bertanya) kebijaksaan melanggan IPO berbanding membeli selepas disenarai maka penjelasan harus diberi.

Jawapan daripada persoalan tersebut adalah bergantung kepada;

Pertama, pengalaman dari penglibatan diri secara langsung, dengan kata lain melanggan.

Kedua, analisis yang disokong oleh statsitik (rujuk jadual)

 

 

Sepanjang tahun 2021 sebanyak 16 saham baru (LEAP market tidak termasuk) telah disenarai samada di atas papan utama atau ACE market.

Jika berpegang kepada pandangan bahawa adalah lebih baik membeli di pasaran pada harga support daripada melanggan, maka kebijaksanaan hanya berlaku apabila pelabur atau trader membeli pada harga support yang lebih rendah daripada harga senarai/langganan.

Namun, persoalannya berapa banyakkah IPO yang mencapai harga support yang lebih rendah daripada harga senarai/langganan selepas disenarai terutama dalamasa 30 hari?

Perlu diketahui bahawa objektif melanggan IPO adalah untuk mendapatkan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran setelah disenarai.

Sebelum meneruskan perbincangan lanjut, perlu difahami dahulu definisi harga support.

Harga support ialah tahap harga dimana ia akan bertahan (mungkin sekali atau lebih) daripada meneruskan kejatuhan.

Jika pelabur berpegang kepada prinsip “langgan dan jual” pada hari pertama, peluang untuk mendapatkan harga pada tahap support adalah tipis dimana kadar peluang untuk harga pasaran jatuh dibawah harga senarai/langganan  ialah 12.5% sahaja.

Ini bersandarkan kepada  statistik yang diberi dimana ia menunjukkan hanya 2 dari 16 kaunter IPO yang disenarai mencecah harga support yang lebih rendah daripada harga senarai/langganan pada hari pertama.

Jika pelabur perpegang kepada prinsip “langgan dan jual” antara tempoh 30 hari selepas penyenaraian, maka peluang untuk mendapatkan harga yang lebih rendah adalah 25% sahaja, dan ia masih dianggap tipis.

Ini kerana daripada 16 IPO yang disenarai , hanya 4 daripadanya mencecah harga support atau terendah yang lebih rendah daripada harga senarai/langganan.

Selepas 30 hari penyenaraian, adalah sudah tidak relevan untuk mempersoalkan samada lebih baik beli pada harga support berbanding harga senarai/langganan kerana selepas 30 hari tiada lagi tindakan penstabilan harga oleh pihak penanggungjamin.

Itupun jika dirujuk kepada statistik, hanya 5 dari 16 IPO, harga terendah atau support pernah mencecah pada tahap yang lebih rendah daripada harga senarai/langganan sepanjang tempoh dari tarikh ia disenarai sehingga akhir tahun 2021

Maka kesimpulannya, peluang menjana keuntungan melalui langganan adalah lebih baik berbanding membeli di pasaran dengan mengharapkan harga di pasaran yang lebih rendah daripada harga senarai/langganan jika persoalan awal di atas menjadi perhitungan.

Hanya yang menjadi persoalan ialah kadar kejayaan dalam melanggani IPO. Ia tiada jaminan untuk berjaya dalam  mendapatkan sejumlah saham yang dikehendaki kerana terpaksa diundi jika langganan melebihi penawaran.

Kelas ribuan ringgit pun tidak sehebat ini….

Setelah undian dibuat kemungkinan hanya mendapat sebahagian sahaja dari jumlah yang dipohon/langgan atau langsung gagal.

Ia pasti mengecewakan jika langganan IPO gagal dan bukan mudah untuk mendapatkan harga yang lebih rendah daripada harga senarai/langganan dalam tempoh 30 hari selepas itu jika merujuk kepada statistik yang diberi.

 

Pengalaman peribadi:

Untuk tahun 2021, telah melanggan 13 daripada 16 IPO yang disenarai.

Sebanyak 8 daripada 13 yang dilanggan telah berjaya, kadar kejayaan ialah 61.5%.

Peratus jumlah saham yang diperolehi berbanding yang dilanggan/dipohon ialah 5.8% hingga 60.0%

Keuntungan pelaburan dalam IPO sepanjang tahun 2021 ialah 31.18% daripada modal berbayar.

Modal berbayar ialah modal yang ditahan oleh rumah terbitan untuk bayaran jumlah saham yang berjaya dilanggan berbanding modal yang diperuntukkan untuk melanggan.

Keuntungan 31.18% adalah dianggap baik kerana;

– Ia hanya untuk objektif jangka pendek (langgan dan jual) dimana 6 daripada 8 IPO yang berjaya dilanggan telah dijual pada hari pertama.

– Ia dianggap sebagai pelaburan sampingan bagi setengah mereka yang berpengalaman melabur di pasaran terbuka.

– Risiko yang lebih rendah berbanding membeli setelah disenarai.

Bagi mereka yang tidak sanggup menanggung risiko yang tinggi, pelaburan dalam IPO adalah satu pilihan.

Bagaimanapun , faktor sentimen pasaran sepanjang tahun dan sentimen keatas IPO itu sendiri harus tidak dinafikan.

Semoga perkongsian ini memberi menafaat.

– Sabri Jalil

Beliau ialah individu berlesen.

Jika berhajat untuk melantik beliau sebagai Remisier anda, slla hubungi 013-7233600

https://kursussaham.com

Scroll to Top