* Strategi Kontrarian @ “Contrarian Strategy”

Strategi kontrarian atau contrarian strategy adalah amalan oleh kebanyakan pelabur tulen. Siapakah pelabur tulen? Mereka yang melabur atau membeli saham kerana nilai dan prospek saham berkenaan. Nilai dan prospek boleh dikaji dengan pendekatan fundamental.

Strategi kontrarian ialah satu strategi yang menentang arus, dengan maksud lain tindakan membeli dan menjual yang dilaksanakan berbeza dari kebanyakan pelabur pada masa itu.

Bila kebanyakan pelabur menjual sesuatu saham , ia akan mengujudkan keadaan di mana penjualan menguasai pembelian. Dari segi sentimen ia dianggap lemah. Harga cenderung turun kerana penguasaan jualan mencetuskan tekanan harga . Ini peluang baik untuk membeli .

Sebaliknya bila berlaku keadaan dimana pembelian menguasai penjualan, sentimen dianggap kuat. Sentimen yang kuat mendorong kepada peningkatan harga kerana terdapatnya sokongan belian. Ini peluang yang baik untuk menjual.

Strategi kontrarian sesuai untuk saham yang kukuh dari segi fundamental dan prospek yang baik.

Pelabur kontrarian tidak menghiraukan turun naik harga dalam jangka pendek tetapi lebih menekankan pergerakan harga jangka panjang. Ini kerana pergerakan harga jangka panjang lebih dipengaruhi oleh fundamental. Semakin baik rekod keuntungan dan semakin kukuh sesuatu syarikat dari semasa ke semasa, maka semakin tinggi harga melainkan jika sesuatu syarikat itu melaksanakan terbitan bonus atau pecahan saham.

Sebaliknya pergerakan harga dalam jangkapendek lebih dipengaruhi oleh sentimen yang mungkin dicetuskan oleh kabar angin, krisis dalaman dan luaran yang bersifat sementara dan lain-lain yang menyebabkan kebimbangan atau panik disetengah kalangan pelabur. Elemen-elemen ini  biasanya  bersifat sementara selagi kesan keatas fundamental syarikat adalah minimum.

Sikap dan mentaliti pelabur kontrarian ialah, ia melihat  kejatuhan sebagai satu peluang untuk membeli dengan harga lebih rendah asalkan kejatuhan bukan disebabkan oleh fundamental. Sebalik kejatuhan harga yang disebabkan oleh faktor  fundamental perlu dielakkan untuk membeli seperti keuntungan yang makin merosot, kedudukan kewangan makin lemah, nisbah hutang makin tinggi dan sebagainya.

Pelabur kontrarian juga melihat krisis sebagai satu peluang (opportunity in crisis) asalkan krisis itu tiada kena mengena dengan tidak akan menjejaskan masa depan syarikat.

Contoh, letupan janakuasa TNB di Paka pada tahun 1996 telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan kegelapan diseluruh negara. Akibatnya saham Tenaga jatuh merudum. Namun perniagaan Tenaga tetap kukuh kerana krisis berlaku sementara. Harga meningkat semula bila bekalan pulih dan berjalan seperti biasa.

Kelas saham yang berkos rendah tetapi kandungan yang terperinci serta mudah difahami

Peristiwa 11 September pada tahun 2001 telah menyebabkan saham tujuh syarikat penerbangan Amerika Syarikat telah jatuh menjunam. Ia menjunam kerana kebimbangan tentang keselamatan dan arahah kerajaan Amerika supaya syarikat penerbangan tersebut menghentikan operasi sementara waktu.

Oleh kerana mengetahui bahawa krisis seperti ini hanya sementara waktu, seorang pelabur dari Britain bernama John Templeton telah membeli saham-saham dalam tujuh syarikat penerbangan berkenaan dan meraih keuntungan sebanyak 33% beberapa minggu selepas kerajaan Amerika mengumumkan akan membayar pampasan terhadap kerugian kerana pemberhentian operasi.

Dalam strategi kontrarian waktu  untuk membeli ialah ketika sentimen lemah. Ia dikenali sebagai buy on weakness tetapi buy on weakness yang terbaik ialah ketika sentimen berada pada kedudukan terlebih jualan atau oversold. Pada kedudukan ini pelabur dapat membeli pada harga serendah mungkin. Manakala waktu menjual  ialah ketika sentimen sedang meningkat. Ia dikenali sebagai sell on strenght  tetapi sell on strenght yang terbaik ialah ketika sentimen berada pada kedudukan terlebih belian atau overbought. Pada kedudukan ini pelabur dapat menjual pada harga setinggi mungkin.

Ada beberapa petunjuk teknikal yang boleh mengesan tahap oversold dan overbought. Antara yang popular ialah RSI, Stochastic dan lain-lain. Satu kelebihan jika seseorang pelabur kontrarian  berkebolehan menggunakan petunjuk teknikal tersebut dalam usaha memaksimumkan keuntungan pelaburan sahamnya.

 

Scroll to Top