* Perbezaan Antara Amanah Saham Dan Saham

Masih terdapat golongan kita tidak dapat membezakan diantara amanah saham dan saham.  Agak mengejutkan ia termasuk dikalangan mereka dari golongan profesional dan yang berpendidikan tinggi.

Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita masih asing dengan ilmu kewangan yang seharusnya mereka kuasai sebagaimana masyarakat lain dimana penguasaan ilmu kewangan mereka amat baik sekali.

Bagi setengah masyarakat kita, amanah saham dan saham adalah sama. Kefahaman mereka mungkin berdasarkan andaian namanya yang hampir sama. Malah kedua-duanya juga adalah alat pelaburan. Maka mereka jadi keliru dan menganggap amanah saham itu adalah saham.

Berikut adalah penerangan berkenaan amanah saham dan saham.

 

AMANAH SAHAM

Amanah saham ialah dana yang dikumpulkan dari ramai pelabur dan disatukan sebagai satu dana  yang kemudiannya dilaburkan oleh pengurus dana bagi pihak pelabur. Pengurus-pengurus dana yang ujud di Malaysia ialan seperti  PNB, Kenanga Investors, Public Mutual Fund, CIMB Wealth dan banyak lagi.

Setiap kumpulan dana akan diberi nama tertentu dan dilabur ke jenis pelaburan atau kumpulan saham tertentu oleh pengurus dana. Contoh, semua atau sebahagian daripada dana yang dikumpulkan akan dilaburkan didalam pasaran saham.  Dana selebihnya (jika semua dana tidak dilaburkan dalam saham ) mungkin dilaburkan dalam sektor lain seperti hartanah, saham tak tersenarai dan lain-lain lagi.

Keuntungan dari pelaburan yang diuruskan oleh pengurus dana akan diagihkan kepada pelabur dalam bentuk dividen setiap tahun.

Amanah saham ada yang berharga tetap, contohnya ASB. Ada juga amanah saham yang berharga tidak tetap.

Bagi amanah saham yang berharga tetap, pelabur akan mendapat keuntungan dalam bentuk dividen sahaja. Amanah saham yang berharga tidak tetap pula, pelabur akan mendapat keuntungan dalam bentuk dividen dan kenaikan harga, sama seperti saham tetapi keuntungan dan risikonya lebih tinggi kerana nilainya ditentukan sekumpulan saham yang sering berubah di pasaran saham. Maka, pelabur memerlukan kebijaksanaan  jika melabur dalam amanah saham berharga tidak tetap. Perkembangan pasaram saham juga perlu diikuti kerana ia mempengaruhi nilai semasa amanah saham.

Pelaburan amanah saham sesuai untuk pelabur yang tidak suka kepada risiko tinggi tetapi boleh berpuashati dengan kadar untung yang rendah iaitu sekitar 5 hingga 10 peratus setahun. Ia adalah pelaburan jangka panjang. Pelaburan amanah saham tidak memerlukan pengetahuan yang tinggi kerana ialah diserahkan kepada pengurus dana yang manir

Pelabur yang ingin melabur dalam amanah saham boleh melakukannya melalui agen yang dilantik oleh pengurus dana.

 

SAHAM

Berkenaan saham pula , ia adalah pembelian langsung keatas pemilikan sesuatu syarikat. Pemilikan itu dipanggil saham. Membeli saham bermakna membeli syarikat secara langsung dari pasaran saham. Pembelian (dan penjualan) dilaksanakan melalui broker/remisier. Saham syarikat mana yang ingin dibeli oleh pelabur , kuantiti dan harganya adalah bergantung kepada keputusan pelabur itu sendiri. Broker/remisier berperanan untuk melaksanakan mengikut keinginan pelabur dari segi saham apa yang ingin dibeli, kuantiti yang dikehendaki dan harga.

Pelaburan saham sesuai untuk mereka yang suka kepada risiko tinggi tetapi untung yang tinggi samada jangka pendek, sederhana atau panjang. Keuntungan dan risiko bergantung secara langsung kepada pergerakan harga pasaran. Keuntungan boleh berlipat kali ganda begitu juga risikonya dan memerlukan pengetahuan dan kemahiran untuk menukar risiko kepada keuntungan

 

KESIMPULAN

Amanah saham dan saham ada kaitan dengan pelaburan  di pasaran saham. Amanah saham diuruskan oleh pihak ketiga yang dipanggil sebagai pengurus dana . Pulangan lebih rendah tetapi risiko juga rendah, Ia sesuai untuk jangkapanjang dan untuk pelabur yang tidak berani kepada risiko yang tinggi. Manakala saham ialah pelaburan langsung di pasaran saham. Risiko tinggi tetapi pulangan tinggi .Ia sesuai untuk pelabur yang berani menghadapi risiko yang tinggi.

 

Sabri Jalil

http://kursussaham.com

Scroll to Top