* Berenang Menentang Arus, Satu Analogi Pasaran Saham

Anda boleh berenang?

Jika boleh ia adalah satu pengalaman yang baik. Pernahkah anda berenang dalam sungai yang pastinya mempunyai arus. Anda akan merasai pengalaman berbeza bila berenang dalam arah arus yang berbeza.

Anda mungkin boleh berenang dalam keadaan apa jenis arus jika ada kemahiran berenang tetapi kekuatan dan kelajuan renangan anda mungkin berbeza. Jika berenang mengikut arus, ia lebih mudah dan laju renangannya. Jika berenang menentang arus, anda tetap mampu berenang tetapi keupayaan dan kelajuan adalah lebih perlahan.

Ada ketika anda sudah berupaya menentang arus tetapi pada satu tahap terpaksa menukar arah mengikut arus. Ada ketika baru sahaja mengikut arus anda sudah terpaksa mengikut arus pula. Ia bergantung kepada kekuatan arus dan keupayaan menentang arus.

Disebalik itu ada juga mereka yang tidak boleh berenang menentang arus tetapi hanya mengikut arus.

Maka secara umum, pencapaian dan kepantasan  untuk sampai ke destinasi renangan akan berbeza kerana kemahiran renang dan arus yang berbeza.

Keadaan yang sama boleh berlaku dalam pasaran saham.

Ketika pasaran jatuh kerana sentimen yang negatif tidak semua saham jatuh harganya. Ada yang naik  tetapi biasanya bilangan adalah minoriti. Begitu juga bila pasaran saham naik secara keseluruhan kerana sentimen yang positif, tidak semua saham harganya naik tetapi ada yang turun dan bilangannya adalah minoriti.

Anda boleh andaikan bahawa pasaran saham  itu sebagai  sungai yang berarus. Cuma dari segi realiti sungaI hanya mempunyai satu arus manakala pasaran saham mempunyai dua arus.

Untuk tujuan analisis dan pemahaman anda boleh gambarkan kejatuhan pasaran saham sebagai satu arus dan ketika itu ada beberapa saham yang harganya bergerak menentang arus, iaitu ia meningkat ketika kebannyakan harga saham sedang jatuh.

Mungkin anda berkeinginan untuk membeli saham yang menentang arus ini kerana didapati ada potensi setelah dianalisis dari segi teknikal atau fundamental, atau kedua-duanya sekali. Bukan satu kesalahan untuk membeli dalam situasi seperti ini asalkan tidak membeli secara sembrono dan tanpa analisis. Namun satu perkara yang anda harus tahu ketika membeli semasa menentang arus , iaitu kekuatan atau kelajuan harga adalah berbeza berbanding ketika mengikut arus.

Dengan kata lain , potensi sesuatu saham untuk bergerak jauh dalam keadaan pasaran keseluruhannya meningkat adalah tinggi dan lebih mudah mencapai harga sasaran, malah mungkin lebih jauh.

Sebaliknya dalam keadaan pasaran keseluruhannya menurun, sesuatu saham walau harganya naik  pergerakannya tidak semudah ketika pasaran meningkat. Berkemungkinan besar pergerakannya menjadi terhad, sukar mencapai sararan dan berubah mengikut arus turun pasaran setelah meningkat untuk seketika.

Fenomena ini perlu diketahui supaya anda sentiasa mempunyai sikap yang waspada dan tidak terlalu bercita-cita tinggi dalam mencipta keuntungan dalam pasaran yang negatif. Jika anda dapat menjual pada harga lebih rendah berbanding harga potensi yang anda jangka pada asalnya, ia diangggap satu kejayaan kerana anda masih mampu menjana untung ketika pasaran menurun.  Tidak mengapa untung sedikit asal tidak rugi.

Bagaimana pula kalau anda mengambil keputusan untuk tidak membeli sebarang saham atau “stay away”  ketika pasaran keseluruhan menurun walaupun ada beberapa saham meningkat harganya?

Ia juga satu tindakan yang bijak kerana kesanggupan anda menanggung risiko dalam keadaan pasaran yang sedemikian perlu diambil kira.

Satu lagi faktor ialah ilmu anda.

Tanpa ilmu berenang anda akan tewas di sungai, tanpa ilmu pelaburan anda akan tewas di pasaran saham lebih-lebih jika tiada ilmu bagaimana melawan arus.

 

Sabri Jalil

http://kursussaham.com

 

Scroll to Top