* Apakah PN17?

Mungkin anda pernah membeli saham tetapi tiba-tiba didapati saham yang anda miliki sudah tiada dalam papan sebut harga di bursa saham. Apa jadi jika saham anda sudah tiada lagi di papan sebut harga? Jawapannya ialah saham yang anda pegang tidak boleh dijual melalui pasaran saham.

Inilah akibat jika anda membeli sesuatu saham yang berstatus PN17.

Apakah maksud PN17?

Ia adalah singkatan Practice Note 17 iaitu salah satu daripada peraturan yang mengikat saham-saham yang disenarai.

Apabila sesuatu saham  yang dikategorikan sebagai kaunter PN17,  ia bermakna syarikat berkenaan menghadapi kesulitan kewangan dan risikonya adalah tinggi.

Diatas papan sebut harga, saham yang dikategori sebagai PN17 akan ditandakan dengan simbol seruan iaitu ! . Jangan disalah erti dengan simbol tanda seruan tersebut. Ia bukan seruan supaya membeli tetapi sebagai amaran bahawa saham tersebut mempunyai potensi untuk dinyah senarai dan kerugian besar mungkin akan dialami oleh anda.

Antara sebab-sebab yang membolehkan sesuatu saham akan dikategorikan sebagai PN17 ialah;

  • Apabila dana pemegang saham sudah menjadi kurang 25% dari modal berbayar.
  • Penanggungjamin terpaksa telah dilantik untuk mentadbir aset-aset syarikat.
  • Apabila anak syarikat atau syarikat bersekutu dibubarkan.
  • Kegagalan dalam membayar hutang dan kadar faedah sehingga melibatkan mahkamah
  • Syarikat memberhentikan operasi perniagaan.
  • Syarikat sudah tidak mempunyai perniagaan teras walaupun mempunyau aset yang kukuh.

Sesebuah syarikat yang tersenarai apabila sahamnya sudah dikategorikan sebagai kaunter PN17, maka ia diminta untuk menyediakan plan pemulihan kepada bursa. Tempoh yang diberikan adalah setahun.

Bukan sesuatu yang mudah untuk plan pemulihan dipersetujui oleh bursa. Jika plan pemulihan itu tidak dipersetujui oleh bursa walaupun diserahkan untuk kali kedua, maka saham syarikat berkenaan adakan dinyahsenarai dari bursa.

Apa akibatnya?

Anda masih pemegang saham dan masih berhak untuk hadir dalam mesyuarat agung tahunan tetapi anda tidak boleh menjualnya dipasaran saham.

Maka itu, anda bukan sahaja dinasihatkan jangan membeli kaunter PN17 tetapi juga dinasihat supaya mengelakkan membeli saham-saham yang keuntungannya rugi berpanjangan dan tahap hutang yang terlalu tinggi kerana kaunter-kaunter seperti ini boleh terjerumus menjadi kaunter PN17. Harga akan menjunam sebaik sahaja diumumkan sebagai kaunter PN17 dan sukar untuk naik semula selagi syarikat belum berjaya mengeluarkan sahamnya dari status PN17.

Beringat sebelum kena.

 

Sabri Jalil

http://kursussaham.com

Scroll to Top