* Kitaran Ekonomi Dan Sensitiviti Saham

Ekonomi mempunyai kitaran . Ia mempunyai 4 fasa iaitu puncak (boom), kemerosotan (slowdown), kemelesetan (recession) dan pemulihan (recovery). Jangan keliru antara kemerosotan dan kemelesetan.

Istilah lain bagi kitaran ekonomi ialah kitaran perniagaan.

Bila perkembangan ekonomi memasuki semula ke fasa puncak, ia melengkapi satu kitaran.

Setiap negara mengalami kitaran enonomi ini dan tidak terkecuali Malaysia. Yang menarik ialah antara 1997 hingga 2007. Malaysia dan beberapa buah negara persekitaran mengalami puncak ekonomi pada pertengahan dan hujung 1990an dimana pertumbuhan ekonomi Malaysia bergerak pada sekitar antara 6 hingga 8 peratus.

Namun pada tahun 1997 Malaysia dan beberapa negara rantau Asia telah mengalami kemelesetan yang teruk, kemudiannya melalui proses kitaran sehingga ke fasa puncak tetapi mengalami kemelesetan semula pada tahun 2008.

Ketika mengalami kemelesetan pada tahun 1997 dan 2008, pasaran saham dan saham di banyak negara turut terjejas.

Selain daripada mempengaruhi kehidupan manusia, kitaran ekonomi mempengaruhi pergerakan harga saham di pasaran saham.

Ada saham yang jatuh merudum selaras dengan merudumnya ekonomi. Ada saham mampu bertahan atau hanya jatuh pada kadar yang rendah berbanding dengan kadar kejatuhan ekonomi.

Begitu juga bila ekonomi meningkat. Ada saham yang meningkat selaras dengan peningkatan ekonomi. Ada yang tidak merubah dengan ketara dan sebagainya.

Perubahahan harga-harga saham adalah  berbeza kerana sensitiviti saham terhadap perubahan ekonomi adalah berbeza. Ia bergantung kepada kategori saham.

Saham-saham tersenarai dikategorikan seperti berikut;

  1. Saham mewah (blue chip stock)
  2. Saham bertahan (defensive stock)
  3. Saham spekulasi (specalutive stock)
  4. Saham pendapatan (income stock)
  5. Saham pertumbuhan (growth stock )
  6. Saham kitaran (cyclical stock)

Dalam skrin sebut harga saham, ia tidak ditandakan mengikut kategori berkenaan, maka agak sukar untuk mengenalinya. Sebaliknya ia dikategori mengikut ciri-cirinya dan perlu dipelajari untuk mengenalinya. Bagi pelabur yang memahami kategori dan ciri-cirinya dan pada masa yang sama memahami kitaran ekonomi, ia adalah satu kelebihan dalam membuat satu perancangan dan keputusan dalam pelaburan di pasaran saham.

Umpamanya, pelabur akan mengetahui apakah saham yang sesuai dilabur atau dilepaskan ketika berlaku kemelesetan? Apakah saham yang harus dipegang atau dilepaskan ketika ekonomi sedang memuncak?

Dengan kata lain juga, pelabur akan mengenali saham apakah yang boleh menjadi peluang pelaburan dan saham apakah yang boleh menjadi risiko yang perlu dijauhi dalam fasa-fasa tertentu kitaran ekonomi.

 

Sabri Jalil

kursussaham.com

Scroll to Top