* Belanjawan Mengembang & Defisit

Belanjawan Mengembang (Expansionary Budget)

Sesebuah negara akan membentangkan belanjawannya setiap tahun. Ia adalah plan pendapatan dan perbelanjaan dalam sesebuah negara. Malaysia tidak terkecuali.

Belanjawan negara (national budget) 2020 untuk negara kita akan dibentang pada Oktober 2019. Ia sudah menjadi perbincangan dikalangan ramai termasuk pakar-pakar ekonomi . Ramai yang meramalkan bahawa kerajaan akan melaksanakan “expansionary budget” atau belanjawan mengembang kerana perlu mengambil kira suasana ekonomi tempatan dan global.

Apakah yang maksud sebagai “expansionary budget” atau belanjawan mengembang ini? Satu istilah yang mungkin jarang didengar oleh setengah orang.

Belanjawan mengembang bermaksud belanjawan yang menekankan kepada pembesaran permintaan agregat dengan tujuan untuk mempertahankan perkembangan ekonomi terutama ketika pertumbuhan ekonomi semakin perlahan.

Kerajaan boleh mengembangkan permintaan agregat melalui dua dasar iaitu dasar fiskal (fiscal policy) dan dasar kewangan (monetary policy)

Melalui dasar fiskal, cukai adalah alat utama.  Kerajaan boleh menurunkan cukai barangan dan perkhidmatan untuk meningkat kuasa beli. Penurunan cukai barangan akan menurunkan harga barang dan kesannya pengguna mampu berbelanja lebih dan permintaan aggregat akan meningkat.

Kuasa beli juga bergantung kepada pendapatan boleh guna (disposible income). Pendapatan boleh guna ialah pendapatam nominal ditolak cukai pendapatan . Maka jika kerajaan menurunkan cukai pendapatan ia akan meningkatkan pendapatan boleh guna dan  kuasa beli, seterusnya permintaan aggregat meningkat dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Perlaksanaan dasar fiskal untuk mengembangkan permintaan aggregat lebih berkesan jika disokong oleh dasar kewangan. Dibawah dasar kewangan salah satu langkah untuk meningkatkan bekalan wang dipasaran ialah melalui perubahan kadar faedah.

 

Belanjawan Defisit (Deficit Budget)

Sudah menjadi kelaziman apabila kelembapan ekonomi berlaku dalam sesebuah negara, kerajaan  akan melaksanakan belanjawan defisit (deficit budget) kerana perbelanjaan perlu ditingkatkan untuk merangsang ekonomi.

Belanjawan defisit bermaksud pendapatan tidak mencukupi untuk menampung jumlah yang perlu dibelanjakan. Belanjawan lebihan bermaksud pendapatan melebehi daripada jumlah yang akan dibelanjakan. Manakala belanjawan seimbang ialah pendapatan mencukupi untuk menampung perbelanjaan

Belanjawan defisit dilaksana dalam keadaan kerajaan tidak menaikkan cukai sebagai sumber pendapatan utama. Begitu juga pendapatan dari sumber lain.

Kekurangan pendapatan untuk menampung jumlah perbelanjaan tersebut akan diatasi dengan pinjaman (hutang). Pinjaman boleh dibuat samada melalui pinjaman terus dari institusi kewangan termasuk institusi antarabangsa seperti IMF, Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan lain-lain. Malah boleh juga meminjam dari kerajaan lain.

Kerajaan juga boleh membuat pinjaman melalui bon yang diterbitkan oleh bank pusat dan akan dilanggan oleh institusi pelaburan tertentu seperti KWAP, KWSP dan lain-lain.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa institusi tabungan paksa adalah sumber kewangan (melalui pinjaman terbitan bon) yang utama bagi kerajaan.  Bagi institusi tabungan paksa pula ia merupakan salah satu sumber pendapatan dalam bentuk kadar faedah.

Di Malaysia institusi tabungan paksa utamanya ialah KWSP (EPF). Di Singapura dipanggil sebagai CPF. Di negara-negara lain ia mempunyai nama tersendiri tetapi fungsinya adalah sama.

 

 

 

 

Scroll to Top